BENTONG, 20 OGOS 2023 : Allahyarham Ustaz Idris Abdol Talib @ Ramali, 41, sangat aktif dalam pelbagai kerja kemasyarakatan dan kebajikan di daerah ini sepanjang hayat hidupnya, walaupun bukan semua yang dilaksanakan itu diketahui umum.
Perkara itu diakui sendiri oleh adik Allahyarham, Nurul Qomar Abdol Talib @ Ramali, 38, ketika ditemui selepas pengebumian Allahyarham Ustaz Idris di Tanah Perkuburan Barak Benus, di sini, hari ini.

“Banyak kebaikan dilakukan Allahyarham yang tidak diketahui umum, malah saya sendiri pun tidak tahu keseluruhannya. Namun, apa kebajikan yang dilakukannya, saya akan teruskan.
“Antaranya, dia (Allahyarham Ustaz Idris) ada membantu sebuah keluarga mualaf dari Sarawak ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Saya sendiri yang hantar sejadah, al-Quran, sebab itulah saya tahu mengenai perkara ini.
“Malah, dia juga ada menyumbang bantuan bulanan kepada bapa tunggal bersama tiga anaknya pada tahun ini yang kini difahamkan telah memeluk Islam, dan bantuan ini akan diteruskan,” katanya.
Allahyarham Ustaz Idris antara 10 yang terkorban dalam nahas pesawat ringan jenis Beechcraft 390 (Premier 1) di Persiaran Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.
Menurut Nurul Qomar, dia antara yang paling rapat dengan Allahyarham selain abang sulung dan adik bongsunya.
“Akhir-akhir ini Allahyarham banyak bergurau dalam kumpulan aplikasi WhatsApp berbanding sebelum ini. malah dua hari sebelum kejadian, Allahyarham banyak mengusik rakan-rakan dan kali terakhir kami berjumpa pada Selasa lalu.
“Kami sekeluarga reda dengan kehilangan tersebut. Malah, bila melihat ketenangan yang ditunjukkan mak dan ayah yang dengan apa yang berlaku, banyak memberi kekuatan terhadap kami untuk menghadapi ujian ini,” katanya.
Allahyarham Ustaz Idris meninggalkan seorang balu, Adlina Aisyah Ahmad Rusli, 41, dan tiga orang anak masing-masing berusia 56 hari, 10 tahun serta 14 tahun. – PAHANGMEDIA