Oleh : Fansurina Abdullah
KUALA LUMPUR, 20 OGOS 2023 : Tiga individu telah diambil keterangan berhubung penyebaran rakaman nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sekiranya tindakan penyebaran rakaman nahas masih berlaku, pihak polis akan mengambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Bermula pada hari ini kalau ada lagi kita akan mengambil tindakan di bawah 233 Akta Komunikasi dan Multimedia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Upacara Pengebumian Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun di Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves, tengahari tadi.
Hadir sama ialah YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Zulkifli Yaacob, Yang diPertua Dewan Negeri Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsuddin dan barisan Exco Kerajaan Pahang.
Allahyarham Dato’ Sri Johari merupakan salah seorang daripada 10 mangsa nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam pada Khamis lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.48 petang itu, seramai enam penumpang pesawat bersama dua krew telah terkorban selepas pesawat ringan yang dinaiki terhempas.
Dua lagi mangsa adalah orang awam yang melalui kawasan tersebut dengan masing-masing menaiki kereta dan motosikal.
Pesawat itu sedang dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada jam 2.50 petang.
Allahyarham telah meninggalkan isteri, Datin Sri Maziah Mohd Sudin dan lima anak iaitu Muhammad Syafieq Hafizielman, Siti Amira Nur Syafiqah, Muhammmad Hafiz Naquiddin, Muhammad Nadif Aisar dan Mohd Nabil Asjad. – PAHANGMEDIA