Jenazah Allahyarham Dato' Sri Johari Harun selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Selasih, Batu Caves, Selangor kira-kira jam 12 tengahari tadi

AYAH SELALU PESAN JAGA MAK DAN ADIK BERADIK, SENTIASA BANTU ORANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUALA LUMPUR, 20 OGOS 2023 : “Arwah sentiasa ingatkan saya supaya jaga mak dan adik-beradik dan sentiasa bantu orang yang memerlukan bantuan,” kongsi anak Allahyarham Dato’ Sri Johari Harun, Muhammad Shafieq Hafizilman.

Muhammad Shafieq, 29, berkata dua pesanan ini sering diingatkan ayahnya kepadanya memandangkan dia merupakan anak sulung daripada lima beradik.

Dia turut menyifatkan allahyarham ayahnya ini sebagai seorang individu yang merendah diri, dan sering membantu rakyat terutamanya mereka yang susah.

Muhammad Shafieq Hafizilman

“Arwah seorang yang sangat tegas, tegas dalam apa sahaja tindakan dan komited dari segi kerja, membantu rakyat.

“Dan menjadi wakil rakyat ni, arwah sudah lama terlibat dalam membantu rakyat khususnya rakyat di Pelangai dan di Pahang.

“Ayah juga seorang yang sangat low profile, walaupun mempunyai gelaran Dato’ Sri tapi sikapnya tidak meninggi diri dan ayah banyak membantu orang-orang yang susah,” katanya.

Muhammad Shafieq turut berkongsi rasa terkejut kerana ramai rakan allahyarham yang tidak dia kenali datang menceritakan tentang kebaikkan allahyarham semasa hidupnya.

“Apabila kita dapat berita arwah telah pergi (meninggal), saya sebagai anak, terkejut kerana ramai rakan-rakan arwah yang tidak saya kenali datang memaklumkan kepada saya tentang kebaikan arwah,” kongsinya.

Dia turut meminta pihak berwajib supaya memperincikan siasatan berkenaan nahas yang berlaku bagi memberi jawapan kepada keluarga mangsa terlibat.

“Saya juga ingin meminta pihak terlibat atau bertanggungjawab terhadap siasatan ini untuk melakukan siasatan secara terperinci agar saya dan juga keluarga mangsa yang lain mendapat satu keputusan sama ada ia berlaku akibat human factor, aircraft factor, atau technical error.

“Saya dan keluarga saya mengharapkan satu keputusan yang menyeluruh supaya kami lebih berpuas hati,” katanya.

Muhammad Shafieq turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang dan Kerajaan Malaysia yang telah membantu kesemua mangsa nahas.

Allahyarham Dato’ Sri Johari merupakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai adalah salah seorang mangsa nahas pesawat ringan yang terhempas di Taman Elmina dalam insiden 2.40 petang Khamis lepas.

Seramai sembilan jenazah dikebumikan hari ini melibatkan Shahrul Kamal Roslan; Heikal Aras Abdul Azim; Kharil Azwan Jamaludin; Shaharul Amir Omar; Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi; Muhammad Taufiq Mohd Zaki; Idris Abdol Talib; serta Sharipuddin Shaari.

Seramai 10 mangsa terkorban di dalam nahas berkenaan melibatkan enam penumpang pesawat, dua juruterbang, dan dua orang awam. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram