YB. DATO’ SRI JOHARI ANTARA MANGSA NAHAS PESAWAT – MB PAHANG

KUANTAN, 17 OGOS 2023 : ​Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar Dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun merupakan salah seorang daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas sebuah pesawat ringan di kawasan kediaman Elmina, Seksyen U16, Shah Alam, kira-kira jam 2.45 petang tadi.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dalam satu kenyataan berkata, bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang, beliau merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham serta keluarga semua mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut.

“Sesungguhnya Negeri Pahang kehilangan seorang pemimpin yang telah banyak menaburkan khidmat bakti untuk rakyat negeri ini.

“Saya juga menyeru agar orang ramai tidak menyebarkan imej atau video mangsa ketika kemalangan bagi menghormati keluarga mangsa yang sedang dalam kesedihan.

“Saya berdoa semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat serta ditempatkan bersama-sama para syuhada dan solihin,” katanya -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram