YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail menyerahkan Cek Sumbangan Kerajaan Negeri Pahang kepada Puan Rosuzila Akmar Mohamed Nor, 34 di Wisma Sri Pahang, Kuantan.

KEPRIHATINAN KERAJAAN NEGERI PAHANG TERHADAP RAKYAT TAK PERNAH TERHENTI

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 15 OGOS 2023 : Penerima cek sumbangan Kerajaan Negeri Pahang menzahirkan rasa syukur dan terharu di atas keprihatinan yang sentiasa dibuktikan kepimpinan Kerajaan Negeri dalam meringankan beban mereka.

Seramai 37 penerima telah menerima cek sumbangan masing-masing yang disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang dengan jumlah sumbangan sebanyak RM743,539.

Bagi pesakit buah pinggang, Encik Zulfahmi Abdul Latif, 29, dari Janglau 2 Rompin, keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang melalui bantuan cek sumbangan yang diterima sedikit sebanyak melegakan beban yang ditanggungnya.

Encik Zulfahmi Abdul Latif, 29.

“Saya kena buat dialisis sebanyak tiga kali seminggu, jadi sumbangan yang saya terima ini membantu kos ulang alik dari rumah ke hospital sebab saya pun tak boleh bekerja dah sekarang, jadi kehidupan agak sempit lah.

“Alhamdulillah saya dapat sumbangan ini, terima kasih sangat-sangat kepada Menteri Besar Pahang kerana bagi sumbangan ini kepada saya,” katanya yang disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak lima tahun lalu.

Bagi usahanita, Puan Rosuzila Akmar Mohamed Nor, 34, dari Kampung Pandan, Kuantan, sumbangan Kerajaan Negeri bukan hanya membantu dirinya malah ia telah diperluaskan kepada usahawan-usahawan IKS lain.

Puan Rosuzila Akmar Mohamed Nor, 34.

“Bantuan saya terima ini adalah untuk penyertaan ke Karnival Malaysia Fest 2023 di Singapura di mana saya satu-satunya usahawan dari Pahang yang turut serta dengan membawa produk tempatan jenama Surich seperti ikan jeruk, ikan masin, dan produk-produk sedia makan (ready to eat).

“Usaha ini saya perluaskan dengan penubuhan Surich Cafe tidak lama lagi di mana ia akan menjadi tempat pengumpulan dan mengetengahkan produk-produk usahawan tempatan lain juga,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Pahang terus memberi sokongan usahawan kecil sepertinya dan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan sewajarnya untuk mereka mendaki kejayaan.

“Saya sangat bersyukur kerana apabila buat permohonan, YAB Menteri Besar Pahang sendiri memberi sokongan padu dan harapan agar dapat luaskan produk seterusnya menembusi pasaran luar negara.

“Terima kasih buat Kerajaan Negeri Pahang khususnya kepada Menteri Besar Pahang kerana bantuan yang diberi sangat-sangat bermakna bukan hanya kepada saya, tetapi juga usahawan-usahawan lain.

“Segala input yang diperoleh saya kongsi bersama rakan-rakan usahawan lain. Terima kasih Kerajaan Negeri Pahang, terima kasih Dato’ Sri (Menteri Besar Pahang), ” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram