Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 09 OGOS 2023 : Seorang lelaki dijatuhi hukuman denda sebanyak RM200,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan di atas dua pertuduhan menceroboh tanah milik Kerajaan Negeri Pahang bagi mengeluarkan pasir silika secara haram.
Tertuduh, Saharudin Sa’ya, 50, yang merupakan penyelia syarikat mengaku bersalah melakukan kedua-dua kesalahan pada Februari dan April tahun ini di Kampung Sungai Ular.
Berdasarkan kertas pertuduhan, dia didakwa tanpa kebenaran yang sah telah menduduki tanah kerajaan bersebelahan Pusat Latihan dan Akademik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pahang di Kampung Sungai Ular pada 5 April 2023 jam 1 petang.
Bagi kesalahan kedua, dia melakukan kesalahan sama di kawasan berhampiran pada 13 Februari 2023 jam 4.50 petang dan didakwa di bawah sesyen yang sama.
Mengikut fakta kes, pegawai penguatkuasa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah membuat pemantauan dan menahan tujuh buah jentera yang terlibat bagi mengeluarkan pasir silika secara haram bagi kedua-dua kes pada Februari dan April tersebut.
Tertuduh didakwa telah mengeluarkan arahan kepada ke atas pemandu jentera bagi menjalankan kerja-kerja pemindahan pasir silika di kawasan berkenaan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 425(1)(a) Kanun Tanah Negara yang jika disabit kesalahan boleh dihukum denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara untuk suatu tempoh tidak melebihi 5 tahun.
Saharudin membuat pengakuan bersalah bagi kedua-dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Mustapha.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam turut memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman denda yang ringan ke atasnya memandangkan dia hanya menjalankan kerja di syarikat berkenaan selain dia kini tidak bekerja dan tiada sumber pendapatan bagi menampung keluarga.
Dia juga turut merayu kepada mahkamah supaya mengembalikan jentera yang disita kerana ia hanya disewa dan perlu dikembalikan kepada pemilik.
Namun demikian, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal diberikan memandangkan tertuduh melakukan kesalahan yang sama dua kali dalam tempoh terdekat bagi memberi pengajaran kepada orang ramai.
Pihak pendakwaan berkata kesalahan ini jugak bukan sahaja merugikan kerajaan negeri tetapi juga merosakkan alam sekitar dan perlu dipandang serius.
Bagi pertuduhan pertama, Hakim menetapkan tertuduh membayar denda sebanyak RM100,000 dan jika gagal berbuat demikian dikenakan penjara selama enam bulan, serta kesemua jentera yang disita pada masa kejadian dilucuthak kepada Kerajaan Negeri Pahang.
Hakim turut menjatuhkan hukuman sama kepada tertuduh bagi pertuduhan kedua, di mana dia perlu membayar denda RM100,000 dan penjara enam bulan sekiranya gagal berbuat demikian selain kesemua jentera disita turut dilucuthak kepada Kerajaan Negeri Pahang.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Shahrizat Ismail, dan Pegawai Pendakwa Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang Taqiuddin Azizan. -PAHANGMEDIA