Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang, YH. Dato' Hamdan Husin ketika melawat gerai pameran pada Majlis Perasmian Karnival Tanah Pahang Peringat Daerah Maran Tahun 2023 ‘Syukuri Nikmat, Laksana Tanggungjawab, Jelaskan Cukai Tanah Anda’ bertempat di Mydin Mall, Jengka di Maran, hari ini.

KUTIPAN HASIL TANAH MEMBERANGSANGKAN MENERUSI PENGANJURAN KARNIVAL TANAH

Oleh : Fansurina Abdullah

MARAN, 5 OGOS 2023 : Penganjuran Karnival Tanah yang bermula pada 22 Julai lalu di Raub dan Maran setakat ini berjaya meningkatkan kutipan hasil tanah yang sangat memberangsangkan.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang, YH. Dato’ Hamdan Husin berkata, kutipan hasil tanah di Daerah Maran sehingga jam 2 petang tadi adalah melebihi RM24,807 dengan kaedah bayaran tanpa tunai mahu pun secara tunai.

“Alhamdulillah saya tengok hari ini jumlah kutipan yang ‘walk-in’ telah mengatasi Raub, itu hebat, maknanya jumlah yang telah datang untuk membayar, jadi kutipan terakhir tadi saya ingat berjumlah (kira-kira) RM26,000, ketika di Raub tempoh hari kutipan yang ‘walk-in’ di kaunter karnival adalah (kira-kira) RM22,000 tetapi Maran nampaknya telah mengatasi sehingga RM26,000,” katanya.

Pengarah Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Negeri Pahang, YH. Dato’ Hamdan Husin

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Perasmian Karnival Tanah Pahang Peringat Daerah Maran Tahun 2023 ‘Syukuri Nikmat, Laksana Tanggungjawab, Jelaskan Cukai Tanah Anda’ bertempat di Mydin Mall, Jengka di Maran, hari ini.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Maran, YH. Dato’ Sharuddin Jali, Pengarah Bahagian Pengurusan dan Perundangan Tanah Jabatan Ketua Pengarah Dan Galian Persekutuan Putrajaya, YBhg. Encik Jaiya Abu, Ketua Polis Daerah Maran, DSP Norzamri Abdul Rahman dan Pegawai Agama Islam Daerah Maran, Al-Fadhil Tuan Haji Nik Ibrahim Nik Abdullah.

Pada Karnival Tanah itu sebanyak 20 kaunter pameran telah disediakan antaranya adalah Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Maran, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PPTG) Pahang, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Plan@Malaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa), Lembaga Perumahan dan Hartanah Pahang (LPHP) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Malaysia Rail Link (MRL).

Pada majlis sama, PTG Pahang turut menerima replika cek bayaran hasil tanah (korporat) daripada Syarikat Gunung Benom Sdn Bhd berjumlah RM179,038.

Dalam pada itu, Dato’ Hamdan berkata, PTG Pahang menyasarkan peningkatan kutipan hasil tanah pada tahun ini berbanding tahun lalu iaitu sebanyak RM766.66 juta daripada keseluruhan kutipan hasil di Pahang sebanyak RM1.285 bilion pada 2022.

Justeru, bagi mencapai hasrat tersebut Kerajaan Pahang turut menawarkan insentif Pengecualian Denda Lewat kepada semua pemilik tanah berkuatkuasa bermula 22 Julai lalu hingga 16 Oktober akan datang.

Bagi memudahkan semua pembayar cukai tanah, Kerajaan Negeri telah menyediakan pelbagai platform pembayaran sama ada secara fizikal di mana-mana kaunter Pejabat Tanah atau pun penggunaan kaedah digital menerusi laman web Pejabat Pengarah Tanah Dan Galian (PPTG) Pahang melalui gateway FPX atau aplikasi PahangGo.

Dalam perkembangan lain, Dato’ Hamdan berkata, PPTG sedang dalam usaha pemutihan data cukai tanah tertunggak menerusi perlaksanaan kempen di bawah Karnival Tanah dengan memupuk kesedaran dan tanggungjawab. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram