YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Perasmian Pahang International Scout Scarf Festival 2023 di Dataran Sayangi Kuantan di sini.

PEMIMPIN TIDAK WAJAR KELUARKAN KENYATAAN BERKAITAN 3R

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 05 OGOS 2023 : Pemimpin dari mana-mana pihak sekalipun tidak wajar membuat sebarang kenyataan berkaitan bangsa, agama dan institusi Diraja bagi memastikan keharmonian dapat dikekalkan.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata para pemimpin seharusnya memberi fokus kepada pembangunan negara bangsa.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Majlis Perasmian Pahang International Scout Scarf Festival 2023 di Dataran Sayangi Kuantan di sini.

“Titah Tuanku (Pemangku Raja Pahang) cukup baik kerana negara kita masyarakat majmuk, ada pelbagai kaum, bangsa, ras, dan etnik.

“Sepatutnya kita berusaha untuk memupuk satu negara bangsa, bangsa Malaysia dan tidak wajar sama sekali mana-mana pemimpin yang membangkitkan isu perkauman, agama, kerana ini akan melebarkan lagi jurang perpaduan kaum antara kita.

“Sepatutnya kita rapatkan lagi jurang antara kaum kerana kita seharusnya memikirkan bagaimana kita nak bawa negara ini ke tahap mana. Kita di suatu masa dahulu, negara kita Malaysia merupakan satu negara yang sangat disegani, dikagumi, daripada aspek ekonomi, sukan, contohnya,” katanya.

YAB. Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Pahang International Scout Scarf Festival 2023 di Dataran Sayangi Kuantan di sini.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Merangkap Pengerusi Majlis Pengakap Negeri Pahang, YH. Dato’ Mohd Zakaria Ibrahim; Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pahang, YBhg. Puan Nor Zahirah Muhammad Azmi; Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, YBhg. Encik Haji Nasaruddin Haji Shamsuddin; dan Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negeri Pahang, YBhg. Encik Aminolah Lateh.

Menurut beliau, sentimen 3R ini seharusnya diketepikan oleh semua pihak dan memberi fokus kepada pembangunan negara.

Sementara itu, beliau turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Pahang tidak akan berkompromi dengan sebarang tindakan pencerobohan haram di negeri ini.

“Sebelum ini pun saya dah buat penegasan bahawa kita tidak ada kompaun, kita akan terus bawa mereka ke mahkamah. Bayangkan dalam masa 10 hari ada tiga kes pencerobohan haram dan seolah-oleh mereka tidak takut dengan kompaun ini.

“Jadi, saya dah bangkitkan perkara ini dalam mesyuarat Exco dan telah meminta pandagan Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri bahawa Kerajaan Negeri berhasrat sekiranya ada lagi tangkapan selepas ini terus bawa mereka ke mahkamah.

“Bukan tujuan untuk mengaibkan mereka, tidak, jauh sekali, tetapi untuk memberi pengajaran kepada orang lain bahawa Kerajaan Negeri sangat serius kerana ini adalah ketirisan hasil, yang merugikan rakyat dan juga Kerajaan, dan tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Seramai lebih 7,000 ahli pengakap dari pelbagai peringkat umur hadir dari seluruh Pahang, termasuk wakil daripada Vietnam, Myanmar, Thailand dan Brunei. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram