Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato' Sri Johari Harun pada Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Nasional Perancangan Bandar Dan Desa Malaysia (SUKNA) Ke-20 Tahun 2023 di Dewan Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang

KEJOHANAN SUKAN PENJAWAT AWAM PLATFORM BUDAYA HIDUP SIHAT

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Muhamad Amiruddin Ani (Unit Korporat)

KUANTAN, 05 OGOS 2023 : Kejohanan sukan dalam kalangan penjawat awam perlu dijalankan secara berterusan sebagai platform memupuk budaya hidup sihat.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun berkata aktiviti sukan juga secara tidak langsung dapat membentuk personaliti diri yang baik.

“Syabas dan tahniah kepada PLANMalaysia Pahang kerana telah berjaya menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah bagi penganjuran SUKNA Ke-20 dengan tema ‘MOH BERSUKAN, AOK BOLEH’.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun

“Kejohanan sukan seperti ini adalah merupakan platform untuk memupuk budaya bersukan di kalangan penjawat awam dan ianya perlu dilaksanakan secara berterusan.

“Saya percaya menerusi kegiatan sukan ini, warga perancang bandar boleh berinteraksi dan berhubung dengan lebih erat dan mesra di gelanggang sukan.

“Secara tidak langsung aktiviti sukan ini berupaya membentuk personaliti yang baik dan meningkatkan kesihatan diri. Badan yang sihat akan menghasilkan akal yang cerdas sekaligus dapat meningkatkan produktiviti  serta hasil kerja yang bermutu tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Kejohanan Sukan Nasional Perancangan Bandar Dan Desa Malaysia (SUKNA) Ke-20 Tahun 2023 di Dewan Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Pahang (Pembangunan), YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan Dan Pembangunan) Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, YBhg. Tuan Muhammad Razman Abu Samah; Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa PLANMalaysia, YBrs. TPr. Dr Alias Rameli; dan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri Pahang (PLANMalaysia PAHANG) merangkap tuan rumah SUKNA 2023, YBrs. TPr Nik Noraisu Nik Ibrahim.

Beliau berkata kejohanan seperti ini juga dapat menerapkan nilai murni yang tinggi serta semangat kesukanan dan daya juang dalam diri setiap peserta.

“ Di samping mempamerkan semangat kesukanan dan daya juang yang tinggi, gunakanlah kesempatan yang ada ini untuk mengukur keupayaan diri masing-masing.

“Saya yakin dan pastinya keutamaan penyertaan dan penglibatan tuan-tuan dan puan-puan yang hadir pada kali ini adalah untuk menang. Kalah dan menang adalah merupakan adat dalam pertandingan.

” Namun disebalik pertandingan itu banyak faedah dan manfaat yang akan diterima. Oleh itu, marilah kita bersukan untuk kesihatan, bersukanlah demi perpaduan, kesejahteraan dan keharmonian kita bersama,” katanya.

Dalam kejohanan SUKNA Ke-20, seramai 716 orang peserta dari seluruh Malaysia berkampung di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah, Gambang ini selama empat hari bermula pada 3 sehingga 7 Ogos 2023. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram