Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

TIADA SEBARANG SENTIMEN PECAH BELAH PERPADUAN DIBENARKAN DI PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 04 OGOS 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya tiada sebarang sentimen yang akan memecah belahkan perpaduan rakyat di negeri ini dibenarkan berlaku.

Baginda menegaskan tiada mana-mana pihak dibenarkan memainkan sentimen bangsa, agama, dan kesetiaan di negeri ini.

“Perpaduan merupakan asas kepada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat, negeri, dan negara ini. Selama ini, rakyat di Negeri Pahang hidup dalam penuh kerukunan dan keharmonian serta saling menghormati dalam suasana yang penuh aman dan damai.

“Bagaimanapun, saya cukup bimbang, keharmonian ini akan digugat jika ada pihak yang cuba memainkan sentimen 3R, iaitu race, religion, royalty, semata-mata untuk matlamat tertentu.

“Ingin saya tegaskan di sini bahawa saya tidak akan sesekali membenarkan mana-mana pihak memainkan sentimen 3R di negeri saya yang akhirnya akan memecah-belahkan rakyat saya,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Ke-64 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Abu Bakar, Pekan hari ini.

KDYMM Pemangku Raja Pahang  bertitah, jika ada pihak yang cuba bermain api perkauman, agama, dan menyentuh kedaulatan institusi DiRaja, akan ditahan dan dihukum tanpa kompromi.

“Saya pasti akan arahkan pihak berkuasa untuk menggunakan segala kuasa yang ada bagi menahan dan menghukum mana-mana pihak yang cuba bermain api perkauman, agama, dan menyentuh kedaulatan institusi DiRaja tanpa sebarang kompromi.

“Saya mahu persembahan ucapan perutusan dan ikrar tast setia ini dapat diterjemahkan dalam bentuk amalan dan tingkah laku seterusnya mengukuhkan lagi pemerintahan baginda Sultan serta memelihara institusi kesultanan di negeri ini,” katanya.

Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada 104 penerima darjah kebesaran dan pingat Negeri Pahang hari ini.

“Tunjuklah contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat di luar sana. Saya tidak mahu dengan kemuliaan dunia ini menjadikan anda semua lupa diri, lupa daratan, sombong, riak, dan angkuh.

“Saya tidak akan teragak-agak untuk menarik semula darjah kebesaran yang telah dikurniakan sekiranya terdapat salah laku dalam kalangan penerima,” titah baginda.

Turut mencemar duli ke istiadat berkenaan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Mengiringi Seri Paduka Baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram