Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

TIADA YANG KEBAL UNDANG-UNDANG – KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 04 OGOS 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah meminta supaya agensi penguatkuasaan bertindak tegas bagi memastikan alam sekitar di negeri ini sentiasa terpelihara.

Baginda bertitah, ini adalah salah satu usaha bagi memastikan alam sekitar, flora dan fauna di Negeri Pahang sentiasa terjaga.

“Jangan ambil rasuah dan sentiasa menjaga integriti. Jika ada yang jual nama, sembahkan kepada saya. Tiada yang kebal daripada undang-undang. Yang salah, tetap salah, tidak kira kerabat, orang politik, mahupun rakyat jelata,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Ke-64 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Istana Abu Bakar, Pekan hari ini.

KDYMM Pemangku Raja Pahang turut menegaskan segala projek pembangunan yang bakal dilaksanakan di negeri ini perlu dimaklumkan kepada baginda dahulu.

“Saya bertegas, kepada semua ahli kerabat, segala projek berbentuk usahasama dengan kerabat negeri lain mesti mendapat perkenan saya terlebih dahulu.

“Begitu juga, kepada semua ahli politik, projek pembangunan perlu disembah maklum dan mohon perkenan daripada saya, setelah berbincang dengan orang tua saya, Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang.

“Dan kepada Kerajaan Persekutuan, semua isu dan projek pembangunan perlu mendapat kelulusan Kerajaan Negeri dan sudah tentu Kerajaan Negeri akan sembah maklum kepada saya untuk mendapatkan perkenan,” titah baginda.

Baginda turut bertitah supaya Jabatan Alam Sekitar memberikan laporan penilaian impak alam sekitar (EIA) kepada baginda sebelum isu dan projek dilaksanakan di negeri ini.

“Kesemua isu dan projek yang disembah maklum kepada saya, akan saya sembahkan ke sisi pengetahuan Seri Paduka Ayahanda saya untuk mendapatkan perkenan,” titah baginda.

Baginda bertitah, semua ini dilakukan bagi memastikan pembangunan di negeri ini agar memberi manfaat terbaik kepada rakyat dan melestarikan alam sekitar.

“Sebagai pewaris takhta Negeri Pahang, saya tidak berhasrat untuk campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan, namun, saya ada mahu menjadi salah satu daripada stake holder yang penting, menjadi check and balance kepada pembangunan yang dilaksanakan.

“Saya mahu prosedur ini terus dilaksanakan walaupun ketika saya menjadi Tengku Mahkota semula agar semua pembangunan yang dirancang akan memberikan manfaat yang terbaik kepada rakyat dan alam sekitar kekal lestari,” titah baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan bercemar duli berangkat ke istiadat berkenaan.

Mengiringi Seri Paduka Baginda, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Al Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri Pahang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram