Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat dan menyempurnakan Majlis Pelepasan Kontinjen ke Ekspedisi Simulasi Menyelamat Altitud Tinggi di Mardi Himal, Nepal sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-64 KDYMM Sultan Pahang.

KDYMM AGONG, PERMAISURI BERKENAN SEMPURNAKAN MAJLIS PELEPASAN KONTINJEN EKSPEDISI MARDI HIMAL

Oleh : Fairus Mohd & Farahin Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 4 OGOS 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan berangkat dan menyempurnakan Majlis Pelepasan Kontinjen ke Ekspedisi Simulasi Menyelamat Altitud Tinggi di Mardi Himal, Nepal sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-64 KDYMM Sultan Pahang.

Baginda bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum AlMutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj tiba di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pada jam 10.30 pagi.

Turut mengiringi, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Haji Zulkifli Haji Yaakob; Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dato’ Abdul Wahab Haji Mat Yasin; Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia merangkap Ketua Ekspedisi, Dato’ Ts Nor Hisham Mohammad; barisan Exco serta kepimpinan negeri Pahang.

Baginda dalam titah menyifatkan perjumpaan ini mungkin dalam keadaan yang agak ringkas namun besar maknanya kepada baginda dan Kerajaan Negeri Pahang.

“Ia memperlihatkan kesungguhan pihak penganjur terutama Jabatan Bomba dan Penyelamat mengadakan ekspedisi yang mencabar.

“Saya ingin menyatakan rasa bangga walaupun sedikit sedih dan cemburu kerana tak dapat bersama sebab faktor umur dan kesihatan walaupun rasa semangat untuk turut bersama,” titah baginda.

Dalam pada itu baginda turut menasihati semua peserta agar menjaga diri serta nama baik negara sepanjang ekspedisi menakluki Kem Pangkalan Hadapan, Mardi Himal berketinggian 4,5000 meter yang berlangsung pada 7 hingga 17 Ogos ini.

“Saya percaya ada objektif tertentu dalam ekspedisi untuk dikaji, diteliti dan dipraktikkan terutamanya berkaitan usaha menyelamat bila ada masalah di lokasi tempat tinggi.

“Saya juga berharap agar ekspedisi ini dapat dibukukan dan dipraktikkan agar misi ini dapat bagi pengajaran kepada pendaki pada masa akan datang.

“Saya doakan semuanya selamat berangkat pergi dan pulang, jaga diri, jaga makan, jaga tidur, jaga buddy (teman) masing-masing supaya tiada yang ketinggalan.
Jagalah nama baik dan semoga ekspediai ini menjadi contoh kepada anak-anak muda di negara kita,” titah baginda.-PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram