Penerima Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) Pahang, Cik Previna Arumugam menerima replika cek tajaan daripada YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

YAYASAN PAHANG RAI KECEMERLANGAN TANPA MENGIRA UMUR DAN BANGSA

Oleh: Farahin Rosli
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 3 OGOS 2023: Kerajaan Pahang melalui Yayasan Pahang sentiasa memberi perhatian dan penghargaan terhadap pelajar anak kelahiran Pahang yang cemerlang dalam bidang akademik tanpa mengira umur dan bangsa.

Penghargaan bermula daripada pelbagai peringkat institusi pendidikan seperti sekolah rendah dan menengah, institut pengajian tinggi dan sebagainya. Insentif sumbangan dan biasiswa daripada Yayasan Pahang dan Kerajaan Negeri ini dilihat dapat mendorong para pelajar lain agar lebih bersemangat dan bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam pelajaran.

Bagi penerima Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) Pahang, Cik Previna Arumugam, 28, jumlah tajaan sebanyak RM20,000 sangat membantu dan dapat menampung kos awal pengajiannya termasuk pembiayaan tiket penerbangan, visa dan lain-lain.

Penerima Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB) Pahang, Cik Previna Arumugam

“Saya sangat bersyukur dapat menerima sumbangan ini di mana tajaan ini dapat meringankan beban dan ianya mencukupi. Saya ada mendapat bantuan melalui Fellowship Program tetapi program ini tidak menampung yuran pengajian. Bantuan dari Yayasan Pahang ini dapat mengurangkan masalah kewangan saya di Amerika Syarikat nanti.

“Terima kasih kepada Yayasan Pahang, dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah banyak membantu saya dari segi akademik. Sumbangan terbesar yang saya terima dari Yayasan Pahang adalah ketika saya menuntut di peringkat ijazah, jika tiada bantuan dari Yayasan Pahang agak sukar untuk saya meneruskan pengajian saya dan sekarang bantuan ini (Skim BKMB). Terima kasih Yayasan Pahang dan Kerajaan Negeri Pahang,” katanya.

Previna merupakan satu-satunya pelajar Malaysia yang terpilih dalam kalangan 25 pelajar cemerlang dari sembilan buah negara yang terpilih mengikuti program sarjana dalam bidang Fellowship Program Energy & Earth Resources di University of Texas, Amerika Syarikat dan akan berangkat ke sana pada 9 Ogos ini.

Bagi penerima anugerah pencapaian pelajar cemerlang yang merupakan graduan Diploma Penyediaan dan Pembuatan Makanan Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills, Tuan Nur Fatin Shazlin Tuan Mustafa, 22, berkata insentif sumbangan sebanyak RM5,000 dapat menaikkan semangatnya untuk lebih berjaya pada masa akan datang.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills dan juga Yayasan Pahang kerana banyak membantu dan menyokong saya selama ini,” katanya.

Fatin merupakan wakil peserta wanita pertama Malaysia dalam pertandingan Worldskills ASEAN Singapore 2023 yang diadakan di SUNTEC, Singapura baru-baru ini dan telah berjaya membawa pulang pingat perak sekaligus memecahkan rekod dominasi Taylor University dan Berjaya College.

Biasiswa dan anugerah berkenaan telah disampaikan sendiri oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang, hari ini.

Kerajaan Negeri Pahang melalui Yayasan Pahang telah membelanjakan sebanyak RM1.47 billion untuk 1.8 juta anak Pahang dalam pelbagai program pendidikan. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram