Cek sumbangan berjumlah RM5,000 diserahkan oleh Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato' Sabariah Saidan kepada ibu Allahyarham Azizah Eiyi, 40, iaitu Puan Halimah Kassim, 63, di kediamannya di Felda Lepar Hilir 3.

KERAJAAN PAHANG SERAH SUMBANGAN TAMBAHAN KEPADA WARIS MANGSA TRAGEDI KEPALA AIR

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 2 OGOS 2023 : Kerajaan Pahang hari ini menyerahkan cek sumbangan kepada waris keluarga mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, pada 1 Julai lalu.

Cek sumbangan berjumlah RM5,000 diserahkan oleh Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan kepada ibu Allahyarham Azizah Eiyi, 40, iaitu Puan Halimah Kassim, 63, di kediamannya di Felda Lepar Hilir 3.

YB Dato’ Sabariah Saidan yang ditemui berkata, ia merupakan sumbangan tambahan selain sumbangan sebanyak RM6,000 yang telah diserahkan kepada keluarga mangsa sebelum ini.

“Alhamdulillah, maksudnya ini (keprihatinan Kerajaan Negeri) bukan sahaja diteruskan kepada keluarga ini tetapi juga mana-mana sahaja rakyat negeri Pahang yang ditimpa kesusahan atau malapetaka kita akan bantu dengan sebaik mungkin.

“Saya ssbagai wakil Kerajaan Negeri Pahang berkongsi rasa sedih dan ini semua adalah takdir, saya berharap keluarga ini terus tabah menghadapi hari-hari mendatang,” katanya.

Sementara itu Puan Halimah turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang khususnya YAB Menteri Besar Pahang yang prihatin terhadap keluarga mereka.

Katanya lagi, keluarga masih berharap agar jasad seorang cucunya, Putri Nor Fatin ditemui walaupun sudah sebulan tragedi berkenaan berlaku.

Menurutnya, setakat ini tiada sebarang khabar diterima berkenaan cucunya itu namun usaha mencari masih diteruskan oleh penduduk kampung setempat.

Pada 1 Julai lalu sepuluh orang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air ketika berkelah di Jeram Mawar, Air Putih Kemaman.

Mereka ialah Azizah Eiyi, 40 dan suami, Karim Abdullah, 39, serta anak mereka iaitu Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4; dan Putri Nor Fatin (yang sehingga kini masih belum ditemukan).

Turut terkorban Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor, iaitu tunang kepada Putri Balqis Izzati. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram