Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
PEKAN, 2 OGOS 2023 : Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang 2023 Peringkat Negeri Pahang yang dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berlangsung meriah dengan pelbagai acara dengan dibanjiri kira-kira 3,000 penduduk sekitar dan daerah berhampiran.
Menurut Dato’ Sri Haji Wan Rosdy, pelbagai program pengisian yang diadakan pada majlis pelancaran tersebut amat baik bagi menyingkap sejarah kemerdekaan sehingga wujudnya perpaduan kaum di dalam negara agar dapat membantu membina sebuah institusi pembangunan dan kemajuan melalui kesedaran yang dipupuk.

“Alhamdulillah program pada malam ini begitu mendapat sambutan hangat teurutamanya penduduk di Pekan dan sekitarnya dan sebenarnya program ini adalah program tahunan, kita adakan Program Kibar Jalur Gemilang, kempen, supaya rakyat Negeri Pahang menyedari bahawa negara ini mencapai kemerdekaan bukan terjadi begitu sahaja.
“Ada perjuangan yang telah kita lalui dengan kebijaksanaan pemimpin-pemimpin terdahulu menyebabkan kita mendapat kemerdekaan.
“Cuma sekarang kita ingin mengembalikan atau membangkitkan semangat rakyat Negeri Pahang supaya apabila tiba 31 Ogos kita bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda hormat dan membangkitkan perasaan sayang kepada negara dan negeri kita,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang 2023 Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur di Dataran Bandar Diraja Pekan.
Hadir sama ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Zulkifli Yaacob, YB. Penasihat Kewangan Negeri Pahang, YH. Dato’ Indera Nazri Abu Bakar, YB. Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin, Pengerusi Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib, barisan Exco Kerajaan Pahang dan pemangku Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Pahang, YBrs Encik Mazli Hamdan.
Pada majlis itu, para hadirin turut dipersembahkan dengan pertunjukan patriotik berbentuk kebudayaan, deklamasi sajak, muzikal dan artis jemputan.
Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menggalakkan orang ramai khususnya rakyat untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di sepanjang bulan kemerdekaan ini sebagai tanda semangat dan cintakan negara.
“Kita perlu menyedari masyarakat sama ada generasi baru atau generasi terdahulu bahawa negara kita ini adalah negara berbagai kaum dan kita seharusnya menghormati antara satu sama lain dengan menghormati prinsip perlembagaan negara seperti mana yang dilafazkan,” katanya.
Pada 26-28 Ogos lalu pasukan konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2023 anjuran Jabatan Penerangan telah memasuki Negeri Pahang dan telah menjelajah ke tujuh daerah iaitu Kuantan, Maran, Jerantut, Temerloh, Bera, Pekan dan Rompin sebelum diteruskan oleh Negeri Johor.
Semangat mengibarkan Jalur Gemilang harus disemarakkan bagi menunjukkan kesungguhan dan kesedaran terhadap perpaduan di kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum. – PAHANGMEDIA