Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
KUANTAN, 02 OGOS 2023 : Kerajaan Pahang bercadang mengadakan satu program pertemuan bersama golongan belia di negeri ini sebagai platform berkongsi pandangan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata pertemuan tersebut juga bagi memastikan golongan tersebut mengetahui berkenaan inisiatif yang diberikan oleh Kerajaan Negeri.
“Sebenarnya perjumpaan ini cukup penting sebab mengikut rekod dan data, belia di Kuantan yang berusia 15 ke 40 tahun jumlahnya lebih 230,000.
“Dalam jumlah yang cukup besar ini maka pentinglah saya jumpa pemimpin-pemimpin belia ini untuk berkongsi pandangan dengan mereka termasuklah inisiatif Kerajaan Negeri Pahang untuk belia-belia di Negeri Pahang ini termasuklah di Kuantan ini.
“Saya dapat banyak maklumbalas, pandangan, dan idea daripada pemimpin-pemimpin belia ini, dan saya fikirkan ada satu keperluan untuk mewujudkan satu retreat khas di kalangan pemimpin-pemimpin belia dan juga belia yang berminat untuk berkongsi pandangan dengan Kerajaan Negeri, selain untuk kita dengar dan bahas idea-idea yang dikemukakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Mesra Kasih Bersama Belia Kuantan di Mana-mana Cafe yang turut dihadiri oleh Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Pahang, Encik Mu’azamil Jili.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Negeri juga bersetuju memberi sumbangan sebanyak RM2,000 kepada lima pertubuhan baharu sebagai sokongan bagi memulakan aktiviti mereka.
“Ada sedikit keistimewaan kepada pertubuhan baharu yang hadir pada malam ini lebih kurang lima persatuan (baharu), dan mereka mengeluh tiada dana untuk menggerakkan pertubuhan.
“‘Mereka (pertubuhan) baharu, tiada pengalaman, jadi saya fikir Kerajaan Negeri perlu membantu, jadi kita akan bantu RM2,000 setiap persatuan baharu ini untuk mereka menggerakkan aktiviti atau program persatuan masing-masing.
“Saya harap, yang pertamanya, boleh membantu mereka untuk memulakan operasi pertubuhan atau persatuan ini; yang kedua, mereka boleh melaksanakan program awal untuk rekrut ahli-ahli baharu persatuan; dan yang ketiganya, ini adalah komitmen betapa Kerajaan Negeri Pahang sentiasa berusaha keras membantu pertubuhan belia termasuk yang baru,” katanya. – PAHANGMEDIA