Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Perjumpaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Bersama-sama Masyarakat Setempat Hulu Tembeling, Jerantut semalam.

KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG BERKENAN SANTUNI RAKYAT ULU TEMBELING

Oleh: Farahin Rosli
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

JERANTUT, 31 JULAI 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Majlis Perjumpaan Bersama-sama Rakyat Setempat Ulu Tembeling di Kampung Bantal, di sini semalam.

Pada majlis berkenaan, baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada penduduk yang memerlukan seterusnya ke majlis santapan yang menyajikan hidangan air tangan penduduk Ulu Tembeling dari setiap kampung.

Turut mengiringi baginda ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Haji Zulkifli Yaacob; Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; Pegawai Daerah Jerantut, Dato’ Khairun Nissa Aris dan seluruh kepimpinan setempat.

Kehadiran baginda mengundang rasa teruja penduduk setempat yang hadir untuk melihat sendiri baginda dari dekat dan memeriahkan majlis jamuan rakyat tersebut.

Bagi seorang penoreh getah dari Kampung Kuala Sat, Encik Jefriddin Bahasan, 54, yang ditemui ketika majlis tersebut meluahkan rasa gembiranya atas kesudian baginda bercemar duli meluangkan masa bersama penduduk di sana.

Encik Jefriddin Bahasan

“Saya sebagai rakyat rasa sangat bersyukur kerana dapat bersama tuanku hari ini (semalam). Tuanku seorang raja yang berjiwa rakyat terutamanya dengan kami penduduk Ulu Tembeling. Memang amat seronok apabila dapat bertemu Tuanku,” katanya.

Manakala bagi seorang pembantu Perawatan Kesihatan di Hospital Jerantut, Puan Halis An Nisaak Ali, 40, juga tidak ketinggalan hadir ke majlis tersebut untuk mengimbas kembali kenangannya semasa kecil melihat nenda baginda yang dulu juga sering menyantuni penduduk kampung tersebut.

Puan Halis An Nisaak Ali

Dalam pada itu, beliau juga sempat meluahkan rasa syukurnya mengenai pembatalan projek jalan yang menghubungkan Ulu Tembeling dengan Kampung Pasir Raja, Dungun yang tidak diperkenan oleh baginda.

“Saya membesar dalam suasana hutan yang cantik di Ulu Tembeling, apa yang saya dan penduduk kampung risaukan ialah jika projek tersebut diteruskan maka alam sekitar akan rosak dan terjejas,” ujarnya yang berasal dari Kampung Bantal.

Ucapan gembira juga turut diluahkan oleh Ketua Kampung Kuala Sat, Abdul Jabar Dollah, yang turut sama hadir memeriahkan lagi majlis tersebut.

Abdul Jabar Dollah

“Saya mewakili penduduk Kampung Kuala Sat rasa amat gembira kerana baginda berkenan hadir pada program seumpama ini yang mana boleh mengeratkan silaturrahim antara penduduk luar bandar dan penduduk bandar. Saya berharap program sebegini dapat diadakan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Lebih 800 orang penduduk Ulu Tembeling yang hadir dari Kampung Kuala Sat, Kampung Bantal, Kampung Pagi dan Kampung Ulu Tembeling. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram