Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal bersama peserta pada Majlis Jamuan Malam dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Woodball Pantai Piala Dunia Ke-3

PAHANG JADI DESTINASI ISTIMEWA SUKAN WOODBALL

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 31 JULAI 2023 : Penganjuran Kejohanan Piala Dunia Woodball Pantai Ketiga yang berakhir semalam dilihat sebagai satu kejayaan dalam meletakkan sukan berkenaan ke peringkat yang lebih tinggi.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, ucapan tahniah seharusnya diberikan kepada Persatuan Woodball Negeri Pahang yang berusaha menjadikan sukan ini sebagai satu tarikan baru terutamanya di negeri Pahang sendiri.

“Saya kira ini adalah satu kejayaan yang sangat gemilang di mana saya sendiri dapat menyaksikan kemeriahan penyertaan daripada 12 negara luar yang mengambil bahagian melibatkan 485 orang peserta.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal

“Ini adalah satu tanda aras yang tinggi diletakkan oleh Persatuan Woodball Negeri Pahang dan kita tengok banyak bakat-bakat muda diketengahkan melalui kejohanan ini dan saya harap suatu hari nanti kejohanan ini akan kembali lagi ke Pahang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah kejohanan berkenaan di De Rhu Beach Resort semalam.

Turut hadir, Pemangku Presiden Persekutuan Woodball Antarabangsa, Encik Sean Weng Chi-Hsiang, Presiden Woodball Negeri Pahang yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), YH. Dato’ Suhaimi Mohd Yunus serta Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim.

Dalam pada itu, beliau berkata selain bersukan kejohanan ini juga menggiatkan lagi aktiviti ekonomi setempat.

“Saya ingin berterima kasih juga kepada Tourism Pahang yang turut membantu menjayakan kejohanan ini.

“Kejohanan ini memang bagi impak yang besar kerana ia melibatkan pertandingan bertaraf antarabangsa. Kita harap mereka tertarik dengan layanan yang diberikan, destinasi pelancongan di sini serta lokasi pertandingan juga dikenali sebagai satu destinasi Woodball yang akan terus popular selepas ini,” katanya.

Menurut beliau lagi, kehadiran ramai penonton sepanjang pertandingan berlangsung juga mampu menarik minat lebih ramai orang untuk mendekati dan menyertai sukan Woodball ini. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram