Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan berangkat ke Majlis Perjumpaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Bersama-sama Masyarakat Setempat Ulu Tembeling, Jerantut.

PROJEK JALAN ULU TEMBELING KE KAMPUNG PASIR RAJA TIDAK JAMIN KELEBIHAN – KDYMM PEMANGKU RAJA PAHANG

Oleh: Fairus Mohd
Foto: Putera Falliq Hakim Suhairi

JERANTUT, 30 JULAI 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa pembatalan projek jalan Mat Daling, Ulu Tembeling ke Kampung Pasir Raja, Terengganu akan memberi lebih manfaat dari kerugian seperti yang dianggap sesetengah pihak.

Titah baginda, jika diteruskan realiti kerosakan flora dan fauna serta ancaman kepupusan haiwan bernilai seperti Harimau Malaya akan menjadi lebih teruk berbanding manfaat yang digembar gemburkan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

“Saya tahu pembatalan projek jalan ini menjadi buah mulut dalam kalangan masyarakat Ulu Tembeling, ada yang bersetuju dan ada juga yang tidak bersetuju. Saya sesekali tidak menolak pembangunan namun saya sendiri tidak bersetuju dengan projek tersebut.

“Saya sendiri telah membaca laporan penilaian kesan kepada alam sekeliling atau EIA yang telah dijalankan dan sungguh banyak spesis hidupan liar, flora dan fauna yang terdapat di kawasan Ulu Tembeling ini. Perlaksanaan projek jalan ini akan menyebabkan khazanah berharga ini terancam serta membuka peluang kepada pemburu haram untuk masuk memburu,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian di Majlis Perjumpaan Bersama-sama Rakyat Setempat Ulu Tembeling di Kampung Bantal di sini.

Turut mengiringi baginda ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Haji Zulkifli Yaacob; Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Johari Harun; Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib; Pegawai Daerah Jerantut, Dato’ Khairun Nissa Aris dan seluruh kepimpinan setempat.

Dalam pada itu baginda mengakui tidak nampak kelebihan dari segi limpahan ekonomi akan mengalir lebih banyak kepada rakyat di negeri ini malah baginda meminta agar projek-projek yang lebih bermanfaat disediakan untuk rakyat.

“Walaupun projek jalan itu dibatalkan, saya telah memohon kepada Kerajaan Persekutuan agar dapat menaiktaraf jalan-jalan perhubungan di dalam kawasan Ulu Tembeling terutamanya yang rosak dan perlu dibaiki.

“Saya berharap Kerajaan Negeri dapat menyusul dengan Kerajaan Persekutuan agar jalan perhubungan antara kampung dapat diwujudkan selain melihat juga keperluan kemudahan lain seperti naiktaraf klinik kesihatan serta baik pulih sekolah-sekolah,” titah baginda.

Sementara itu baginda optimis dengan kelebihan kewujudan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah akan memberi manfaat dan peluang pekerjaan kepada penduduk kampung, belia dan orang asli berhampiran.

“InsyaAllah saya telah melihat contoh model ini dilaksanakan di Rizab Harimau di negara India. Saya yakin ia akan menggalakkan ekonomi pelancongan tempatan dan kawasan ini akan lebih terpelihara, tiada lagi pembalakan dan insya-Allah lebih ramai pelancong akan datang ke sini.

“Saya juga mahu masyarakat kampung turut bersama-sama menjadi mata dan telinga untuk menjaga Rizab Harimau Diraja ini,” titah baginda. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram