Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib ketika ketika merasmikan Program Jerayawara OGSE Pantai Timur 2023 atau East Coast Oil & Gas Services and Equipment (OGSE) Roadshow 2023 yang dianjurkan oleh MPRC dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, khasnya Bahagian Perancang Ekonomi Pahang (BPEN) di sini hari ini.

KERAJAAN PAHANG KOMITED MAJUKAN INDUSTRI PERKHIDMATAN DAN PERALATAN MINYAK DAN GAS

Oleh : Alia Mokhtar
Foto : Noor Farahana Mohd Fadzil

KUANTAN, 27 JULAI 2023 : Kerajaan Pahang terus komited dalam meneruskan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk memajukan industri Industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) tempatan supaya sentiasa proaktif dalam menghadapi kehendak pasaran.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, Kerajaan Negeri telah menyasarkan pelaburan komited sebanyak RM9.5 bilion untuk tahun 2023 melalui sektor-sektor yang berpotensi seperti minyak, gas, petrokimia dan tenaga yang boleh diperbaharui.

“Saya sedia maklum bahawa Industri OGSE merupakan penyumbang kepada perkembangan industri di Malaysia jadi dari RM9.5 bilion ini, sektor minyak, gas dan tenaga telah memperolehi pelaburan komited sebanyak RM800 juta bagi separuh tahun pertama 2023, ataupun 8.4 peratus daripada jumlah pelaburan komited yang disasarkan.

“Justeru, Kerajaan Pahang telah mengambil beberapa langkah untuk menyokong aktiviti minyak dan gas serta industri yang berkaitan, contohnya, membangunkan Kawasan Perindustrian Gebeng sebagai hab kluster bagi industri kimia dan petrokimia dan menempatkan banyak syarikat multinasional dan baru-baru ini kerajaan Negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan telah mengambil inisiatif untuk menangani isu bekalan air agar memastikan keadaan yang kondusif buat syarikat-syarikat yang beroperasi di kawasan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Jerayawara OGSE Pantai Timur 2023 atau East Coast Oil & Gas Services and Equipment (OGSE) Roadshow 2023 yang dianjurkan oleh MPRC dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pahang, khasnya Bahagian Perancang Ekonomi Pahang (BPEN) di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, Kerajaan Pahang menantikan peluang yang ada untuk dimanfaatkan oleh pemain-pemain industri OGSE dari Pahang, Terengganu dan Kelantan dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan menyumbang kepada pencapaian aspirasi negara rendah karbon.

“Selari dengan itu, saya menyeru agar syarikat-syarikat OGSE dari Pahang dan Pantai Timur mengambil peluang yang ada melalui inisiatif-inisiatif di bawah OGSE Blueprint untuk penambahbaikan syarikat-syarikat OGSE yang lebih kukuh dan kompetitif, terutamanya dalam berdepan dengan peralihan tenaga,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram