YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika menyampaikan Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang (BKMB) kepada Muhammad Ashraf Aiman Mohd Imran, 18.

YAYASAN PAHANG DORONG SEMANGAT PELAJAR CIPTA KECEMERLANGAN

Oleh : Fairus Mohd & Farah Rosli
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 27 JULAI 2023 : Kesediaan Yayasan Pahang dalam memberi sokongan dan bantuan dari pelbagai sudut keperluan pendidikan telah berjaya melahirkan ramai pelajar yang cemerlang di dalam bidang akademik serta sahsiah diri.

Ia turut diakui pelajar terbaik Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang memperoleh keputusan 11 A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022, Nik Hadif Darwisy Mohd Hazaki, 18, yang menerima Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang (BKMB) untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi.

Nik Hadif Darwisy Mohd Hazaki, 18

“Saya anak Pahang yang berasal dari keluarga berpendapatan dalam kategori B40, jadi saya menerima pembiayaan penuh dari Yayasan Pahang selain menerima elaun penuh setiap bulan sepanjang pengajian di Maahad Tahfiz Negeri Pahang.

“Saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pahang serta Yayasan Pahang kerana sanggup membiayai saya untuk mendapatkan peluang pendidikan yang terbaik dengan fasiliti dan suasana yang sangat selesa,” katanya yang kini merupakan penuntut di Pusat Asasi Sains Hayat, Universiti Malaya dengan menggenggam cita-cita sebagai seorang pengkaji dalam bidang Bioperubatan.

Seorang lagi penerima Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang (BKMB), Muhammad Ashraf Aiman Mohd Imran, 18, yang kini melanjutkan pelajaran di Pusat Asasi Sains Hayat, Universiti Malaya turut menghargai peranan Yayasan Pahang dalam membentuk kecemerlangannya pada hari ini.

Muhammad Ashraf Aiman Mohd Imran, 18

“Terima kasih Yayasan Pahang kerana memberi penghargaan dan peluang. Saya yakin daripada sumbangan ini Yayasan Pahang mengambil berat dan mengambil perhatian terhadap anak-anak Pahang yang bersekolah di negeri ini.

“Bagi saya ini ialah batu loncatan untuk saya terus melakar kejayaan. Saya merupakan salah seorang anak Pahang yang menerima pelbagai bantuan dari Yayasan Pahang. Saya juga menerima biasiswa dari sekolah rendah hingga ke sekolah menengah.

“Saya menyertai program Intervensi Semua Satu A (PiSSA) dan juga program Anak Yatim Permata Hati (PERHATI) di bawah kelolaan Yayasan Pahang di mana melalui program-program ini jugalah saya yakin tentang hala tuju Yayasan Pahang yang menekankan aspek pendidikan,” kata bekas pelajar Sekolah Menengah Abd Rahman Talib (SMART) yang memperoleh keputusan 9A+ dalam SPM 2022.

Bagi pelajar cemerlang yang memperoleh keputusan Mumtaz Sofi dalam sepuluh mata pelajaran, Nur Dalila Abdul Malik, 16, dari SMA Al-Ulum Addiniah Dong, Raub turut berterima kasih dengan penghargaan yang diberikan oleh Yayasan Pahang di atas pencapaian akademiknya.

Nur Dalila Abdul Malik, 16

“Terima kasih sangat kepada Yayasan Pahang kerana bagi anugerah kepada saya dan sedar kewujudan (pencapaian) saya dalam akademik.

“InsyaAllah saya akan terus berusaha untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM pada tahun hadapan dan mencapai cita-cita sebagai seorang usahawan,” kata anak keempat dari lima beradik ini.

Penganugerahan kecemerlangan iaitu Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar Pahang (BKMB), anugerah pelajar dan sekolah cemerlang Program Baca Cepat Kawanku (BCK) ini disampaikan oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Hadir sama YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Indera Haji Zulkifli Yaacob, Exco Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan, YB Dato’ Sri Ir Haji Mohd Soffi Tan Sri Abd Razak dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pahang, YH Dato’ Mahmud Mohd Nawawi. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram