Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Radin Mohd Norhilmi Nordin
JERANTUT, 27 JULAI 2023 : Kerajaan Pahang memberi tumpuan sama rata dari segi capaian telekomunikasi di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memastikan semua pihak mendapat manfaat teknologi ini.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, ini bagi memastikan orang ramai tidak mempunyai masalah dalam pelbagai urusan harian mereka.
“Kita tak nak ada masyarakat kita bermasalah dari segi komunikasi ini, nak berhubung dengan orang luar, nak bekerja, belajar, dan menjalani urusan harian.
“Dan sebenarnya jajaran sungai Ulu Tembeling ada sembilan menara telekomunikasi di mana lapan telah siap di bina dan hanya satu lagi di Kampung Orang Asli Sungai Kucing dalam proses disiapkan.
“Bagi keseluruhan daerah Jerantut ini ada 30 menara telekomunikasi di mana 16 telah siap dan beroperasi dengan rangkaian 4G cuma 14 lagi menara sedang dalam pembinaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melawat Kampung Bantal, Ulu Tembeling, Jerantut bagi pengukuran kualiti dan liputan perkhidmatan 4G bersama pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang turut dihadiri, Pengarahnya, Tuan Haji Mohd Faisal Md Nor.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut komited bagi menyiapkan keseluruhan 270 buah menara telekomunikasi di negeri ini termasuklah 191 buah menara di bawah pakej Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) hujung tahun ini.
“Cuma kita tahu ada masalah-masalah tertentu yang kita tak dapat nak elak seperti pengambilan tanah kerana kedudukan menara ini melibatkan tanah individu, tanah Kerajaan, tanah Felda dan sebagainya jadi pengambilalihan tanah ini akan menjadi masalah.
“Tapi saya optimis hujung tahun atau selewatnya ada beberapa menara yang bermasalah (akan disiapkan) awal tahun hadapan kerana ia tak dapat dielaklah.
“Tapi yang lain (menara telekomunikasi) kita tentukan pertengahan tahun ini maknanya pada hujung bulan Jun telah selesai semua perolehan tapak menara di mana lebih 90 peratus tapak menara kita telah berjaya selesaikan perolehan,” katanya.
Sementara itu, menurut Tuan Haji Mohd Faisal, pelaksanaan JENDELA memberi tumpuan kepada kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk yang rendah.
“Cuma kita memberikan capaian kepada lebih ramai penduduk di mana penduduk di kawasan pedalaman akan menerima liputan telekomunikasi.
“Sebelum ini tak ada (capaian telekomunikasi), sekarang ini akan mula dapat perkhidmatan internet sama seperti mana di kawasan bandar,” katanya. -PAHANGMEDIA