YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail melihat kerja-kerja yang dilakukan sebelum pembukaan semula laluan KM66.1 Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak.

LEBUH RAYA KL-KARAK BAKAL DIBUKA SEMULA MALAM INI

Oleh : Fairus Mohd

BENTONG, 26 JULAI 2023 : Pengguna boleh menggunakan laluan KM66.1 Lebuh Raya Kuala Lumpur – Karak yang sebelum ini berlaku mendapan bermula malam ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail turut melawat kawasan berkenaan dan melihat kerja-kerja yang dilakukan sebelum pembukaan semula jalan tersebut.

“Saya berkesempatan melawat di mana berlaku mendapan jalan raya yang berlaku secara tiba-tiba (semalam) tapi Alhamdulillah setakat ini tidak berlaku sebarang kemalangan jiwa kerana pihak MRL telah mengesan lebih awal apabila mereka dapati ada bunyi runtuhan, mereka terus mengambil tindakan segera dengan menahan beberapa buah kereta supaya tidak melalui jalan ini

“Kerja-kerja (baikpulih) jalan ini siap pada jam 7 petang ini, bermakna ia boleh dibuat dalam masa kurang daripada 24 jam,” katanya.

Kejadian tanah mendap di Kilometer 66.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak antara persimpangan Bentong ke persimpangan Bentong Timur pada malam semalam menyebabkan semua lorong di lokasi berkenaan ditutup sementara.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dalam kenyataan dimuat naik di Twitter memaklumkan, penutupan itu menyebabkan trafik sesak di kedua-dua arah dan pengguna telah dinasihatkan untuk keluar ke bandar Bentong bagi menggunakan laluan alternatif. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram