YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan program bicara intelek bersama Al-Allamah As- Sheikh Dr Usamah As-Sayyid Al- Azhari di Dewan Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS).

PERKEMBANGAN ISLAM DI PAHANG KEUTAMAAN KERAJAAN NEGERI

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 25 JULAI 2023 : Kerajaan Pahang sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan agama Islam dan pendidikan Islam di semua peringkat pendidikan, termasuk di institusi sekolah pondok dan maahad di negeri ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, usaha ini bertujuan memartabatkan ilmu agama di kalangan rakyat dan menghasilkan lebih ramai cendekiawan Islam yang terpelajar.

“Kami sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada semua rakyat di Pahang untuk berusaha meningkatkan penguasaan ilmu agama melalui program-program yang diatur dan dianjurkan oleh kerajaan Pahang.

“Oleh itu, kami berazam untuk menyokong pelbagai bentuk program atau aktiviti seperti ini, yang membawa tokoh-tokoh ilmuan Islam antarabangsa,” katanya.

Teks ucapan beliau telah dibacakan oleh Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Sebelum itu, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim telah merasmikan program bicara intelek bersama Al-Allamah As- Sheikh Dr Usamah As-Sayyid Al- Azhari di Dewan Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS).

Dalam ucapan itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy turut menzahirkan rasa bersyukur dan bertuah dengan kehadiran Dr Usamah As-Sayyid serta menjadi bukti kepada manifestasi komitmen tinggi kerajaan dalam program keislaman.

Katanya, ini merupakan peluang keemasan kepada rakyat di Pahang untuk bersama-sama dengan seorang ulama besar dan mendengar bait-bait kalam bicaranya.

Sehubungan itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy juga merakamkan ucapan tahniah kepada UnIPSAS kerana menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir pada Mei lalu yang memberikan keistimewaan kepada lepasan Diploma UnIPSAS untuk menyambung pengajian di Mesir dan diterima terus untuk masuk ke tahun tiga Mesir tanpa perlu memperbaharui pengiktirafan (mu’adalah).

Beliau turut menyifatkan MoU ini sebagai peluang berharga bagi anak-anak di Pahang dan lepasan Diploma UnIPSAS yang bercita-cita menyambung pelajaran di peringkat ijazah Sarjana musa di Universiti Al-Azhar. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram