Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 24 JULAI 2023 : Kerajaan Negeri menyumbangkan sebanyak RM30,000 bagi kejohanan Piala Dunia Woodball Pantai Ketiga yang bakal berlangsung pada 27 Julai sehingga 31 Julai ini di De Rhu Beach Resort.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, Kerajaan Negeri menyokong penuh penganjuran yang pertama kali diadakan di negara ini.

“Hari ini saya meninjau persiapan Pahang sebagai penganjur Woodball Beach Championship yang pertama kali diadakan di Malaysia dan Pahang sebagai tuan rumah.
“Jadi Kerajaan Negeri sokong dan penglibatan ramai pemain dari luar negara, sudah pasti penting bagi Pahang dan saya juga telah bentangkan berkenaan kejohanan ini dalam mesyuarat Exco beberapa bulan lalu.
“Hari ini saya menyampaikan sumbangan daripada Kerajaan Negeri Pahang berjumlah RM30,000 untuk menyokong kejohanan ini,” katanya ditemui selepas menyampaikan sumbangan dan melawat persiapan kejohanan di De Rhu Beach Resort hari ini.

Turut hadir, Presiden Woodball Negeri Pahang yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), YH. Dato’ Suhaimi Mohd Yunus.
Beliau berkata, sokongan sebegini perlu diberikan bukan sahaja bagi memastikan sukan woodball ini dikenali ramai, malah kejohanan ini juga diharap dapat merancakkan industri pelancongan di negeri ini.
Sementara itu, menurut Dato’ Suhaimi seramai 485 peserta secara keseluruhan melibatkan 12 negara termasuk 150 peserta dari Malaysia.
“Kejohanan Woodball Pantai Piala Dunia Ketiga 2023 dan Kejohanan Woodball Terbuka Antarabangsa Malaysia Ke-23 diadakan serentak pada 27 Julai sehingga 31 Julai ini.
“Ia melibatkan 12 negar termasuk Malaysia, melibatkan peserta lebih kurang 480 orang peserta dengan antara negara yang ada, Afrika, Kenya, Uganda, Singapura, Indonesia, Thailand, Pakistan, serta Malaysia.
“Dan ada seorang wakil wanita serta lima lelaki dari Pahang yang menyertai kejohanan bersama pasukan Malaysia pada kejohanan ini,” katanya.
Beliau ketika ditemui turut melahirkan hasrat supaya sukan woodball ini dapat menarik lebih banyak penyertaan dari orang ramai dan turut disenaraikan dalam acara sukan seperti SUKMA.
Kejohanan Piala Dunia Woodball Pantai Ketiga yang bakal berlangsung pada 27 Julai ini merupakan kesinambungan daripada First Beach Woodball World Cup Championship 2017, di Bintan Island Indonesia pada 9 Ogos sehingga 14 Ogos 2017; dan Second World Cup Beach Woodball 2019, di Uganda pada 25 Mei sehingga 31 Mei 2019. – PAHANGMEDIA