Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 24 JULAI 2023 : Penganjuran pelbagai kejohanan di peringkat persatuan bukan sahaja dapat mengasah semangat dan memperbaiki pencapaian tetapi ia juga menjadi medan pencarian bakat-bakat baharu dalam bidang sukan di Negeri Pahang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, aktiviti kejohanan perlu sebagai platform untuk atlet-atlet bersaing selain menjadi pemanas badan kepada mereka.

“Apabila diadakan tournament ini persaingan dia lain, mental dia lain, persiapan dia pun lain, dia akan buat persediaan untuk menang. Jadi penting kejohanan sebeginilah untuk persiapan atlet-atlet SUKMA selain itu kita tengok untuk cungkil bakat-bakat baru,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir menyampaikan hadiah pada 16th Pahang Championship 2023 Merebut Piala YB Fadzli Bin Mohamad Kamal yang diadakan di Kuantan Megalanes, di sini, semalam.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP), YH. Dato’ Suhaimi Mohd Yunus, Timbalan Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), YBrs Puan Suraini Abdul Hamid dan Pengerusi Persatuan Bowling Tenpin Pahang, Encik Zamzuriadi Shamsuddin.
Kejohanan anjuran Persatuan Bowling Tenpin Pahang dengan Kerjasama Majlis Sukan Pahang (MSP) ini turut menyasasarkan untuk memperbaiki pencapaian Pahang dalam SUKMA yang akan berlangsung pada tahun hadapan.
“Sebab itu saya bagi tumpuan (terhadap) Majlis Sukan Pahang (MSP) sebab saya hendak mereka sokong persatuan-persatuan kita ini, kita tidak mahu meletakkan pencapaian semata-mata nanti mereka tidak boleh buat jadi kerana itu saya memberi penekanan awal lagi, saya pergi ke MSP saya dengar taklimat. Kita (Kerajaan) seriuslah hendak memperbaiki prestasi sukan Pahang,” katanya.
Pada majlis sama, YB Fadzli turut menyampaikan cek sumbangan Kerajaan Pahang kepada Persatuan Bowling Tenpin Pahang berjumlah RM10,000. – PAHANGMEDIA