YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2023 di Pekarangan Tapak Pekan Sehari Dong

KARNIVAL KITA MADANI : USAHA KERAJAAN PERPADUAN SEMAKIN DITERIMA RAKYAT

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Azzahara Binti Husain (PMD Dun Tras)

RAUB, 22 JULAI 2023 : Sambutan yang menggalakkan pada Karnival Kita Madani membuktikan usaha Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menerima maklum balas baik daripada rakyat setempat khususnya penduduk di luar bandar.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lebih 5,000 rakyat hadir pada karnival yang diadakan di Dewan Terbuka Pekan Sehari Dong di sini hari ini.

“Sekurang-kurangnya rakyat dapat merasakan bahawa Kerajaan Perpaduan ini di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri adalah cakna dan prihatin kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas merasmikan  Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur 2023 di Pekarangan Tapak Pekan Sehari Dong.

Hadir sama Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal, Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan,  Pemangku Pengarah Penerangan Pahang, YBrs Encik Mazli Hamdan dan  Pegawai Daerah Raub, YBrs. Tuan Mohd Khuzaidi Harun.

Karnival Kita Madani yang julung kali diadakan di Dong, Raub ini turut mengadakan Jualan Rahmah selain pertandingan memasak ikan sungai, pertandingan mewarna kanak-kanak, sukaneka, pameran daripada agensi-agensi terlibat, pemeriksaan kesihataan percuma dan cabutan bertuah.

Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, karnival seumpama ini akan diteruskan ke daerah-daerah lain seluruh Pahang memandangkan sambutan luar biasa yang diterima daripada penduduk setempat dan daerah lain.

“Akan diteruskan seperti hari ini di Dong, bulan berikutnya kita mungkin adakan di tempat lain kerana kita hendak semua rakyat dapat merasai,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram