Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali
PEKAN, 18 JULAI 2023 : Sebanyak RM65.25 juta diperuntukkan PAIP melalui Kerajaan Negeri Pahang bagi kerja-kerja membaiki dan menaiktaraf paip-paip yang usang dan bermasalah di daerah ini.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, ini bagi memastikan perkhidmatan bekalan air dapat dinikmati oleh penduduk sebaik mungkin.
“Ini termasuklah projek bekalan air Nenasi sebanyak RM19 juta, pemasangan booster pump di Kampung Gemuruh RM50,000, di Felcra Sri Makmur di Belimbing kita cadangkan penggantian paip dan pam sebanyak RM3 juta, Felda Chini membabitkan kerja-kerja di kolam takungan dan muka sauk Loji Rawatan Air Felda Chini sebanyak RM20 juta, di Kampung Belimbing RM250,000 dan membina tangki sedutan di Temai RM979,900 yang akan siap pada 6 November ini.
“Malah sebanyak 217 projek sedang dan akan dilaksanakan di seluruh Pahang membabitkan peruntukan berjumlah RM2.3 billion (Fasa Satu 2021 hingga 2026) yang dilaksanakan secara berperingkat.
“Ini semua kita lakukan bagi memastikan bahawa pelaksanaan projek bekalan air ini dapat kita laksanakan dengan baik bagi memastikan perkhidmatan bekalan air kepada penduduk dapat diberikan dengan sebaik-baiknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Lawatan Ke Loji Rawatan Air (LRA) Sekor, LRA Belimbing dan Rumah Pam Tangki Kg Temai bersama pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP).
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, YH. Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari dan Pengurus PAIP Daerah Pekan, Ts. Ahmad Zuwairi Zainal Abidin.
Menurut Dato’ Saiful Zaini, sebanyak RM145 juta diperuntukkan bagi penggantian paip yang bermasalah dan usang di seluruh Pahang.
“Dengan kos lebih kurang RM145 juta keseluruhan, kita akan lihat yang mana (pam) yang dah turun kapasiti dia kita naikkan, mungkin kawasan itu tidak sesuai lagi dengan kapasiti lama perlu di tambah baru itu semua kita akan lihat.
“Target kita sama dengan YAB Menteri Besar Pahang, target kita untuk siap (projek) dalam tempoh dua ke tiga tahun,” katanya. -PAHANGMEDIA