Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal ketika mempengerusikan Mesyuarat Pengurus Pasukan dan Jurulatih Kontinjen Pahang Ke Sukan Malaysia XXI 2024 Sarawak di Kuantan semalam

PAHANG PANDANG SERIUS PENCAPAIAN SUKAN

Oleh: Nur Farahin Rosli
Foto: Nur Iman Mohd Hafiz Andrew

KUANTAN, 18 JULAI 2023 : Kerajaan Negeri Pahang memandang serius dengan pencapaian sukan serta prestasi para atlet di negeri ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, pencapaian ini akan dilihat pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 ini.

“Oleh itu, setiap pasukan perlu ada strategi untuk berhadapan dengan SUKMA akan datang, di mana misi kita untuk kali ini adalah untuk membaiki kedudukan dan prestasi pada SUKMA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Pengurus Pasukan dan Jurulatih Kontinjen Pahang ke Sukan Malaysia XXI 2024, Sarawak, di Astana Ballroom, Grand Darul Makmur Hotel Kuantan.

Beliau juga menegaskan mengenai penambahan atlet dari Pahang yang berbakat untuk menjadi pelapis atlet masa akan datang di dalam beberapa kategori sukan yang dipertandingkan.

“Minggu lepas, saya ke Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP) dan pengetua sekolah menawarkan penambahan atlet olahraga untuk Negeri Pahang.

“Saya mahu setiap pengurus pasukan dan jurulatih mencari cara untuk tambah atlet dari Pahang dan fokus pada pencarian bakat sukan olahraga seperti memanah, ragbi, gimnastik, bola keranjang dan lain-lain,” katanya lagi.

Beliau dalam mesyuarat yang julung kali diadakan ini turut melahirkan keprihatinan berkenaan aspek kebajikan jurulatih dan juga atlet negeri Pahang.

“Saya juga berharap kebajikan pihak jurulatih dan atlet tidak terabai dan diberi keutamaan. Dari segi pembayaran gaji dan elaun, ianya akan ditambahbaik mulai tahun hadapan sekaligus memberi motivasi kepada mereka menjalankan tanggungjawab dan membantu mencapai KPI,” tambah beliau. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram