Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato' Sri Mohamad Najib ketika Majlis Penutupan Simposium Kerajaan Digital di Hotel Swiss-Garden & Residences, hari ini.

PERKHIDMATAN SECARA PENDIGITALAN PENUHI KEPERLUAN SEMASA

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhamad Amiruddin Ani (Unit Korporat)

BENTONG, 18 JULAI 2023 : Perkhidmatan pendigitalan secara sepenuhnya mampu melonjakkan status penyampaian awam di negeri ini ke tahap lebih cekap, cepat dan produktif.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib berkata, penganjuran Simposium Kerajaan Digital 2023 oleh Pahang Go dan Unit Korporat Pejabat SUK Pahang merupakan satu platform yang menarik dan bermanfaat.

“Syarikat-syarikat swasta dan agensi-agensi kerajaan boleh duduk sekali dan bertukar pendapat serta memberi peluang kepada pihak kerajaan untuk mengenali dan mempelajari teknologi terkini yang dimiliki syarikat swasta.

“Kita perlu sentiasa peka dengan peredaran teknologi semasa dan acara sebegini perlu diteruskan setiap tahun untuk merealisasikan sasaran untuk muncul sebagai sebuah kerajaan digital sepenuhnya,” katanya.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Pahang, YB. Dato’ Mohamad Nizar Dato’ Sri Mohamad Najib

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Penutupan Simposium Kerajaan Digital di Hotel Swiss-Garden & Residences, hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Go, Encik Affandi Mohd Isa dan Setiausaha Bahagian, Bahagian Teknologi Maklumat, Puan Zuraidah Mat Harun.

Dalam pada itu, YB. Dato’ Mohamad Nizar berharap agar rakyat di negeri Pahang menerima baik budaya perkhidmatan secara digital yang cuba dilaksanakan sepenuhnya nanti.

“Kita nak kurangkan carbon footprint, penggunaan kertas sebanyak mungkin dalam urusan seharian kerajaan seperti contoh negara Estonia yang saya sebut di mana mereka penyampaian perkhidmatan awam mereka hampir seratus peratus digital.

“Mereka hanya perlu ke pejabat kerajaan untuk urusan tanah, perkahwinan atau penceraian sahaja. Jadi inilah salah satu contoh yang boleh ikuti untuk mantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan awam kerajaan kita dan saya berharap kita dapat terus maju ke hadapan,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram