Oleh : Fairus Mohd
Foto : Muhamad Amiruddin Ani (Unit Korporat)
BENTONG, 17 JULAI 2023 : Penganjuran Simposium Kerajaan Digital 2023 dilihat sebagai tapak permulaan bagi Kerajaan Negeri Pahang beransur-ansur alih ke perkhidmatan berasaskan teknologi digital.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, perubahan perlu dilakukan dalam memastikan perkhidmatan awam yang diberikan kepada rakyat terus diyakini dan dihormati selain untuk terus kekal relevan.
“Sudah sampai masa Kerajaan Negeri secara beransur beralih kepada perkhidmatan berasaskan teknologi melalui Pahang Go sebagai peneraju.
“Saya rasa ini (Simposium) adalah inisiatif yang sangat penting dilaksanakan oleh Pahang Go untuk menarik perhatian ramai pemain industri yang membentangkan inisiatif-inisiatif teknologi digital yang boleh diaplikasikan oleh agensi-agensi Kerajaan Negeri di mana banyak juga yang menyentuh kepentingan teknologi digital ini di peringkat PBT.
“Sebelum ini PBT guna teknologi ikut keperluan sendiri sahaja sedangkan ia boleh diperkembangkan ke peringkat negeri.
“Teknologi ini banyak manfaat seperti menjimatkan masa, tenaga, pantas dan terutamanya berkenaan penyimpanan dan pengumpulan data,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau Simposium Kerajaan Digital di Hotel Swiss-Garden & Residences, hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Go, Encik Affandi Mohd Isa.
Dalam pada itu, YB Fadzli melihat usaha yang dilakukan membuka ruang yang luas terhadap penawaran perkhidmatan digital yang boleh dipertimbangkan untuk dipilih.
“Pemain industri yang menyertai simposium ini teruja untuk tawar perkhidmatan mereka termasuk benda baru yang boleh dilaksana dan memberi manfaat besar.
“Kerajaan Negeri Pahang sedang mengkaji kesesuaian setiap tawaran perkhidmatan digital dan ada yang menarik seperti sistem pengesan awal bencana seperti banjir, tanah runtuh yang sesuai dengan keadaan negeri Pahang ini,” katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Pahang Go, Encik Affandi Mohd Isa yang ditemui berkata semua pemain industri terlibat membentangkan dan berkongsi kelebihan teknologi masing-masing terutamanya melibatkan penggunaan agensi kerajaan.
“Kita panggil tujuh pemain industri yang aktif dalam dunia pendigitalan bersama agensi-agensi kerajaan, badan berkanun dan GLC Pahang.
“Kita merancang untuk jadikan simposium ini sebagai acara tahunan dan ia akan diperluaskan lagi termasuk penambahan peserta dan pemain industri dan mahu setiap agensi kerajaan sentiasa peka dengan sebarang teknologi terbaru yang ditawarkan oleh pihak industri,” katanya. -PAHANGMEDIA