YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika melancarkan Inisiatif KampungDigital365.com dengan kerjasama Measat dan Parcel365 bagi memacu ekonomi digital di kawasan luar bandar di Pos Sinderut hari ini
PROJEK RINTIS KAMPUNGDIGITAL365 TANDA KERAJAAN PRIHATIN
Oleh : Ain Nadhirah Basha
LIPIS, 15 JULAI 2023 : Pelaksanaan projek rintis KampungDigital365.com di Kampung Orang Asli (KOA) Pos Sinderut di sini membuktikan tanda keprihatinan kerajaan terhadap rakyat di kawasan luar bandar.
YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan ini merupakan alternatif bagi pemasangan kabel optik yang menelan kos yang tinggi.
“Ini menunjukkan betapa prihatin kerajaan kepada kawasan-kawasan luar bandar di mana jika di pasang kabel optik, ia terlampau mahal dan kalau nak dipasang, dalam tempoh sepuluh tahun pun belum tentu lagi dapat dipasang.
“Jadi kita pergi kepada alternatif satelit, di mana dengan satelit ini orang-orang kampung boleh menggunakan digital untuk mereka berhubung berbanding sebelum ini, mereka terputus hubungan. Jadi kita pergi kepada (cara) yang kita mampu setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Inisiatif KampungDigital365.com dengan kerjasama Measat dan Parcel365 bagi memacu ekonomi digital di kawasan luar bandar di Pos Sinderut hari ini.
Turut hadir, Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, YB. Dato’ Ramli Dato’ Mohd Nor; Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), YBhg. Puan Hajah Sapiah Dato’ Mohd Nor; Ketua Pegawai Operasi MEASAT, YBhg. Encik Yau Chyong Lim; Pengarah Parcel365, YBhg. Encik Eddie Mok; dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Menurut beliau, perkhidmatan jalur lebar luar bandar di Pos Sinderut ini telah dilaksanakan dengan baik sejak sembilan bulan lepas dan diberikan percuma bagi tempoh dua minggu pertama.
“Pesanan saya kepada pengguna-pengguna supaya gunakanlah sebaik-baiknya (data internet) dan jangan membazir dan menggunkannya pada perkara yang tidak tentu. Bila ada keperluan, kegunaan, gunalah sebaiknya.
“Kalau anak-anak boleh guna untuk pendidikan berbanding sebelum ini di mana mereka tidak ada pilihan lain. Dan ianya akan dikembangkan ke kampung-kampung lain selepas ini di masa akan datang,” katanya.
Inisiatif KampungDigital365.com dikuasakan oleh perkhidmatan Hotspot WiFi jalur lebar satelit berkelajuan tinggi CONNECTme NOW daripada MEASAT yang menyokong semua aplikasi digital dan perkhidmatan dalam talian termasuk urus niaga, komunikasi, latihan dan kes-kes kegunaan yang lain.
Kerjasama antara MEASAT dan Parcel365 meningkatkan keterangkuman di kalangan komuniti luar bandar, di mana ejen CONNECTme NOW juga berkhidmat sebagai operator program KampungDigital365.com di kawasan masing-masing.
Dengan rangkaian CONNECTme NOW yang ketika ini meliputi hampir 4,000 kawasan luar bandar dan pedalaman dan memberikan perkhidmatan kepada 500,000 rakyat di seluruh negara termasuk 462 kawasan Perkampungan Orang Asli, ramai rakyat Malaysia di luar bandar akan mendapat manfaat daripada akses lebih cekap kepada ekonomi digital. -PAHANGMEDIA