Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal ketika melakukan tinjauan pembinaan menara komunikasi di Kampung Ulu Teris, Padang Tengku di Lipis

KERAJAAN PAHANG OPTIMIS SIAPKAN 191 MENARA DI BAWAH JENDELA

Oleh : Norfarhiza Mohd Atar
Foto : Hasuzila Hashim

LIPIS, 14 JULAI 2023 : Kerajaan Pahang konsisten dan bersungguh-sungguh dalam memastikan rancangan untuk menyiapkan kesemua 191 menara di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dapat disiapkan dan beroperasi sepenuhnya menjelang hujung tahun ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, sehingga kini 50 menara telah siap sepenuhnya dan beliau optimis dengan sasaran yang diletakkan serta mampu dicapai jika kesemua pihak memberi komitmen penuh untuk merealisisikannya.

“Saya tengok ada kengkangan dan cabaran-cabaran melibatkan agensi dan sebagainya dan saya rasa boleh diselesaikan.

“Insya-Allah pada hari Selasa ini saya akan mengadakan mesyuarat khas membincangkan berkaitan dengan perlaksanaan JENDELA ini bersama dengan pihak-pihak berkepentingan,” katanya selepas melakukan tinjauan pembinaan menara komunikasi di Kampung Ulu Teris, Padang Tengku di sini hari ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal ketika melakukan tinjauan pembinaan menara komunikasi di Kampung Ulu Teris, Padang Tengku di Lipis

Sebelum itu beliau turut meninjau dan menyaksikan penyerahan menara komunikasi di perkampungan Orang Asli Sungai Garam dari pihak Baycom Sdn Bhd yang  diwakili oleh  Ketua Pegawai Eksekutif Baycom Sdn Bhd, Mr Sudesh Kumar Nair kepada syarikat telekomunikasi Celcomdigi yang diwakili oleh Ketua Jabatan Hal Ehwal Kerajaan Dan Korporat Celcomdigi, Encik Roslan Rosli.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri (ADN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan  Ketua Pegawai Operasi Koridor Utiliti Pahang, Ir Ts Mohd Sably Abdul Latiff.

YB Fadzli yang juga ADN Dong berkata,
beliau sedia mendengar sebarang masalah dan keluhan semua pihak berkepentingan supaya isu dan kengkangan yang wujud dapat diselesaikan.

“Saya minta agensi-agensi kerajaan dapat memudahkan berkaitan prosedur yang sepatutnya serta tidak mengganggu dan mengekang kita untuk memastikan sasaran semua menara beroperasi sepenuhnya pada penghujung tahun ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, YB Fadzli menjelaskan, menara telekomunikasi Sungai Garam adalah menara yang baharu sahaja disiapkan bulan lepas oleh syarikat Baycom Sdn Bhd iaitu syarikat yang dilantik oleh  Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai syarikat pembina menara.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Baycom Sdn Bhd kerana berjaya menyiapkan Kluster 31 yang didalamnya ada 13 menara yang semuanya terletak di Lipis.

“Baycom Sdn. Bhd. juga adalah syarikat pertama yang berjaya menyiapkan Kluster 31 dengan lengkap dan seharusnya syarikat pembina menara yang lain  mencontohi usaha, komitmen dan kejayaan Baycom Sdn Bhd,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

This will close in 0 seconds