Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man ketika berucap pada Program Perjumpaan Business To Business/ Business Matching Sempena Lawatan Familiarisasi (Fam Trip) Singapura - Pahang 2023 di Kuantan 188.

PAHANG TAWAR ALAM SEMULAJADI, MAKANAN KEPADA PELANCONG

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 11 JULAI 2023 : Sektor pelancongan Pahang menawarkan pakej yang memfokuskan kepada keistimewaan alam semulajadi dan makanan bagi menarik kehadiran pelancong ke negeri ini.

Pengurus Besar Tourism Pahang, Encik Kamaruddin Ibrahim berkata, lawatan Familiarisasi bersama Tourism Malaysia Singapura ini dilakukan memandangkan Pahang merupakan sebuah negeri yang luas.

“Pahang merupakan negeri yang besar, kita tidak boleh cover (tempat menarik) Negeri Pahang dalam masa lima hari. Jadi kita ada beberapa siri lagi.

“Untuk trip kali ini kita memilih empat daerah utama di mana produk pelancongan kita boleh dikunjungi dengan mudah dan bagi masa akan datang, di siri-siri akan datang, kita akan membawa agensi pelancongan ini ke kawasan yang lain khususnya di Pahang Barat.

“Kita ada Merapoh, Cameron Highlands, Raub yang terkenal dengan produk pelancongan berasaskan alam semulajadi dan produk makanan terutamanya Musang King,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Perjumpaan Business To Business/ Business Matching Sempena Lawatan Familiarisasi (Fam Trip) Singapura – Pahang 2023 di Kuantan 188.

Turut hadir merasmikan program, Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang, YB. Cik Leong Yu Man.

Menurut beliau lagi, bagi siri pertama ini empat daerah iaitu Rompin, Kuantan, Temerloh, dan Bera menjadi destinasi pelancongan yang akan dikunjungi melibatkan beberapa kategori kluster pelancongan iaitu alam semulajadi, pulau dan pantai, pelancongan budaya, pelancongan inap desa, dan pelancongan bandar.

“Pemilihan destinasi-destinasi pelancongan dalam lawatan familiarisasi ini dipilih berdasarkan tahap kebolehpasaran yang tinggi serta mengambil kira kemudahan fasiliti yang memuaskan di setiap destinasi dan kawasan sekitarnya.

“Antara destinasi-destinasi pelancongan yang akan dikunjungi termasuk Taman Negeri Rompin, Teluk Cempedak, Serambi Teruntum, Kuantan 188, Kuantan Art Street, Sungai Lembing, Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah, Kampungstay Desa Muni Temerloh, Rinchen Jangsem Ling Buddhist Retreat Centre, Tasek Bera dan Pulau Tioman.

“Promosi berterusan di dalam dan luar negara juga akan diperhebatkan bagi memastikan negeri Pahang dapat mencapai sasaran seramai 13 juta pelancong ke negeri ini pada 2023,” katanya.

Lawatan Familiarisasi (Fam Trip) Singapura – Pahang 2023 bermula dari 10 Julai sehingga 14 Julai 2023 melibatkan 20 orang pengusaha pelancongan dan influencer dari Singapura dijemput mengunjungi destinasi pelancongan Negeri Pahang bagi memperkenalkan dan memberi pendedahan berkaitan produk pelancongan baharu dan sedia ada di negeri ini. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram