Oleh : Fairus Mohd & Alia Mokhtar
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 10 JULAI 2023 : Pertemuan yang diadakan bersama atlet dan jurulatih sukan di negeri ini dapat memberi penerangan berkenaan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap golongan ini serta masa depan mereka dalam bidang sukan.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, atlet perlu tahu bahawa masa hadapan mereka cerah sama ada sebagai atlet itu sendiri atau peluang kerjaya selepas itu sama ada terlibat sebagai jurulatih atau pengurusan sukan.

“Kita nak betulkan persepsi itu dan kita nak nyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pahang memandang serius dan menghargai sumbangan serta pencapaian mereka sebab kita nak perbaiki aspek-aspek kebajikan atlet dan juga jurulatih sukan di Negeri Pahang.
“Kita tak nak hanya mengejar pencapaian dan kejayaan atau pingat tapi pada masa yang sama aspek kebajikan ini kita abaikan.
Jadi sejak daripada awal menjadi Exco yang turut bertanggungjawab berkait dengan aspek sukan ini, saya nak aspek kebajikan atlet dan jurulatih ditambah baik.
“Kita nak mereka tahu bahawa kita sentiasa mengambil berat soal kebajikan dan berharap bila mereka faham, mereka dapat menyumbang sebaik-baiknya dan berusaha bersungguh sungguh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas bertemu atlet dan jurulatih di Sekolah Sukan Malaysia Pahang, di sini.
Beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 58 orang jurulatih dan atlet negeri Pahang di sekolah berkenaan.
Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Encik Zamri Hassan serta Pengetua Sekolah Sukan Malaysia Pahang, Encik Jalaluddin Ismail.
Dalam pada itu, YB. Fadzli berkata, kesempatan turun padang berjumpa dengan atlet dan juga jurulatih Pahang digunakan untuk melihat persiapan menghadapi SUKMA di Sarawak tahun hadapan.
Menurutnya, sebelum ini beliau telah melihat persediaan beberapa jenis sukan antaranya karate, taekwondo, angkat berat, memanah, menembak, renang, olahraga dan beberapa sukan yang lain.
“Hari ini saya ambil kesempatan bertemu dengan atlet-atlet di sini dan perjumpaan ini penting sebab mereka bukan pelajar biasa, mereka adalah pelajar sekolah sukan dan bukan senang untuk berada di sekolah ini dan kita tak nak bakat itu disia-siakan dan selepas ini habis SPM dan sebagainya mereka tetap meneruskan kegemilangan dalam bidang sukan.
“Mereka adalah atlet luar biasa yang pencapaiannya boleh ditingkatkan lagi dengan kepimpinan sekolah yang pakar dalam bidang sukan dan boleh membantu meningkatkan prestasi mereka.
“Jadi selepas ini saya akan turun ke Sekolah Sukan di Temerloh untuk melihat persiapan dan kesiapsiagaan atlet-atlet kita di sana dan ada beberapa perkara yang perlu ditambah baik kita akan lakukan segera. Kita betul-betul nak atlet kita bersedia untuk menghadapi SUKMA di Sarawak tahun depan,” katanya. -PAHANGMEDIA