Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menziarahi dan menghadiri majlis tahlil sepuluh sekeluarga yang mati lemas dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, pada 1 Julai lalu.

KELUARGA MANGSA KEPALA AIR TERHARU KEPRIHATIAN KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG

Oleh : Alia Mokhtar
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 10 JULAI 2023 : Keluarga mangsa kepala air di Jeram Mawar, Air Putih Kemaman meluahkan rasa terharu setelah menerima kunjungan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah hari ini.

Ibu kepada Allahyarham Azizah Eiyi, Puan Halimah Kassim, 63, amat berterima kasih dan terharu dengan keberangkatan Seri Paduka ke majlis tahlil dan bertanya khabar dia serta keluarga di Masjid Ubbudiah Felda Lepar Hilir 3.

“Sebagai ahli keluarga, mak cik berasa amat terharu dan sangat berterima kasih atas keberangkatan baginda di sini. Baginda serta Almarhum Paduka Ayahanda dan paduka anakanda baginda memang terkenal sebagai raja yang amat prihatin terhadap rakyatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di majlis tahlil sepuluh yang mati lemas dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, pada 1 Julai lalu.

Dalam pada itu beliau masih berharap agar cucunya, Putri Nor Fatin Karim, salah seorang mangsa yang masih hilang dapat ditemui dengan segera.

“Perasaan saya sekarang bercampur-baur, kalau boleh saya nak tengok jasad dia dikebumikan dengan sempurna bersama-sama dengan ahli keluarganya yang lain.

“Kami akan terus melakukan solat hajat dan bergilir dengan ahli keluarga yang lain ke lokasi kejadian selagi mangsa tidak dijumpai,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

This will close in 0 seconds