Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menziarahi dan menghadiri majlis tahlil sepuluh sekeluarga yang mati lemas dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, pada 1 Julai lalu.

KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG BERKENAN ZIARAH KELUARGA MANGSA KEPALA AIR

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 10 JULAI 2023 : Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menziarahi dan menghadiri majlis tahlil sepuluh sekeluarga yang mati lemas dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, pada 1 Julai lalu.

Keberangkatan tiba baginda di Masjid Ubbudiah Felda Lepar Hilir 3 pada pukul 12.45 tengahari disambut Setiausaha Kerajaan Pahang, YH Dato’ Indera Haji Zulkifli Yaacob, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad serta Exco Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato Sabariah Saidan.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah

Baginda meluangkan masa kira-kira dua jam bertemu dan bertanya khabar keluarga mangsa, iaitu kedua ibu bapa Allahyarham Azizah Eiyi, 40, serta keluarga suami Azizah, Allahyarham Karim Abdullah, 39, selain mengurniakan sumbangan kepada keluarga mangsa.

Baginda ketika ditemui bertitah bahawa kejadian menyayat hati itu amat memberi kesan yang besar dan mendalam terutamanya kepada ahli keluarga mangsa-mangsa terlibat.

“Saya amat simpati, amat sedih sekali dengan pemergian mereka. Ini semua adalah kehendak Allah SWT, sama-samalah kita semua mendoakan supaya roh-roh mereka ini digolongkan dalam golongan yang beriman dan dalam golongan syahid akhirat.

“Bagi keluarga harap mereka bersabar, teruskan amalan amalan membaca dan Al-Quran kepada yang meninggal. Saya berterima kasih kepada agensi-agensi kerajaan yang telah membantu habis-habisan dalam menguruskan jenazah, terima kasih kepada pihak kerajaan juga dalam membantu proses pengebumian ini seperti pihak bomba dan polis,” titah baginda.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan menziarahi dan menghadiri majlis tahlil sepuluh sekeluarga yang mati lemas dalam tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, pada 1 Julai lalu.

Dalam pada itu baginda bertitah agar rakyat lebih berhati-hati bagi berusaha mengelak sebarang tragedi walaupun kejadian yang berlaku adalah ketetapan takdir.

“Ini (tragedi) tidak boleh salahkan mana mana pihak kerana ini adalah bencana, kerana bencana boleh berlaku di mana mana sahaja.

“Saya harap kita lebih berhati-hati untuk pergi ke tempat yang kita tak kenal, tempat yang tidak pasti ketika membawa keluarga,” titah baginda.

Selain seorang mangsa, Putri Nor Fatin yang masih belum ditemui sehingga kini, tujuh jenazah ahli keluarganya iaitu Azizah Eiyi, 40, Karim Abdullah, 38, Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya Karim, 10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, Putri Aryana Umaira Karim, 4, dan Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad.

Jenazah kelapan, Putri Alleya Maisarah, 16, pula dikebumikan pada keesokan harinya manakala mangsa kesembilan Muhammad Fikri Saliman, 24, pada Sabtu lalu di Batu Pahat, Johor. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

This will close in 0 seconds