Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 9 JULAI 2023 : Kelab Bolasepak Rhino FC melakar kejayaan demi kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa sekaligus menjadi barisan pelapis harapan pasukan bola sepak negeri Pahang.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, kelab kelahiran akademi bolasepak pembangunan di bawah Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) ini mencatat kejuaraan demi kejuaraan yang disertai mereka.
“Kelab ini melatih pemain bola sepak berusia lima hingga 15 tahun yang membanggakan bukan hanya banyak menang kejohanan dalam negara tetapi juga di luar negara. Paling membanggakan, Rhino FC pernah menewaskan pasukan handalan Barcelona dengan jaringan 1-0.
“Saya difahamkan bahawa tiga orang pemain Rhino dah tandatangan kontrak dengan pasukan Sri Pahang, ini satu perkembangan yang membanggakan kerana bukan senang untuk cemerlang di luar negara dan melakar pencapaian yang membanggakan di usia muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program TM-Unifi bersama pelanggan dan kemudian menonton Liga Super yang menyaksikan pertembungan pasukan Sri Pahang FC dan Selangor FC.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang serta Pengurus Besar TM Pahang, Dato’ Zulfikri Hashim.
Dalam pada itu beliau turut menyatakan komitmen Kerajaan Negeri Pahang dalam memastikan usaha yang dilakukan terus berjalan dengan baik dan lancar.
“Sudah pasti Kerajaan Negeri memberi sokongan kepada kelab sebegini yang memang fokus kepada pembangunan bola sepak anak-anak muda.
“Kerajaan Negeri Pahang akan memberi sokongan penuh dengan doa dan harapan lebih ramai anak-anak ini akan menjadi pemain profesional yang bermain untuk negeri dan negara kita,” katanya. -PAHANGMEDIA