Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal hadir ke Karnival Elephant Warrior Talent Hunt Siri 1 tahun 2023 sukan Renang di Kolam MBK, Indera Mahkota, Kuantan.

KARNIVAL ‘ELEPHANT WARRIOR TALENT HUNT’ CARI ATLET PELAPIS PAHANG

Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 9 JULAI 2023 : Karnival Elephant Warrior Talent Hunt Siri 1 tahun 2023 melibatkan lima jenis sukan anjuran Majlis Sukan Pahang dilihat mampu mencungkil bakat-bakat baru dalam menyediakan atlet pelapis bagi negeri ini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, program selama dua hari ini dilihat sebagai platform terbaik dalam mencari dan mencungkil bakat-bakat baru untuk mewakili Pahang.

“Karnival ini melibatkan sukan karate, tenpin boling, renang, sepak takraw dan skuasy di mana bakat-bakat baharu ini kita turut hasratkan untuk mewakili SUKMA di Sarawak pada tahun hadapan.

“Kedua, kita nak lahirkan bakat-bakat muda walaupun di bawah umur (kelayakan) SUKMA untuk masa depan sukan Pahang. Bagi saya program ini amat signifikan dan bertepatan untuk kita kenalpasti bakat baharu ini di mana mereka akan menjalani latihan intensif selepas kita berhadapan pandemik selama tiga tahun sehingga menyebabkan tiada latihan dan pertandingan yang bersungguh-sungguh,” katanya.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal hadir ke Karnival Elephant Warrior Talent Hunt Siri 1 tahun 2023 sukan Renang di Kolam MBK, Indera Mahkota, Kuantan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan pertandingan dan penyampaian hadiah bagi acara renang sempena karnival berkenaan di Kolam Renang Wisma Belia, di sini.

Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Encik Zamri Hassan.

Sementara itu beliau turut gembira dengan sambutan yang diberikan terhadap penganjuran karnival berkenaan dan berharap agar acara sama ditambah bagi menggiatkan usaha mengesan bakat-bakat baru atlet negeri ini.

“Saya berharap agar MSP dapat menganjurkan acara termasuk kejohanan secara lebih kerap, contohnya buat permulaan bagi acara renang ini saya harap boleh buat kejohanan dua kali setahun iaitu pada bulan Jun dan Disember.

Maknanya ada latihan pusat selama enam bulan sebelum kejohanan berlangsung. Jadi ia boleh menjadi tempoh yang terbaik untuk buat penilaian ke atas atlet dan persediaan untuk menyertai kejohanan di luar,” katanya.

Menurut beliau lagi, satu pertemuan khas akan diadakan pada bulan ini dengan jurulatih dan pengurus-pengurus sukan yang mewakili persatuan dan kelab di seluruh negeri ini khusus untuk acara yang dipertandingkan di SUKMA.

“Saya nak tengok strategi, perancangan jurulatih mereka untuk sukan masing-masing sekaligus menunjukkan komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan sukan dan atlet di Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram