Oleh : Fairus Mohd
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 8 JULAI 2023 : Kerajaan Negeri Pahang sentiasa memandang tinggi peranan serta sumbangan oleh Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) dalam mendepani anak muda dan belia serta memberi kefahaman khususnya berkenaan cabaran hidup masa kini.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Fadzli Mohamad Kamal berkata, bersandarkan kepentingan itu juga Kerajaan Negeri Pahang telah memberi peruntukan yang besar kepada belia iaitu lebih RM4 juta untuk pembangunan belia di seluruh negeri Pahang.

“Ini sebab kita sedar organisasi belia amat penting sebagai sokongan kepada Kerajaan Negeri. Kehadiran hari ini juga adalah salah satu komitmen Kerajaan Negeri dan juga YAB Menteri Besar Pahang sendiri terhadap kepimpinan belia yang menjadi harapan dan masa depan negeri yang terletak di bahu mereka
“Mereka perlu bersedia dan mampu mendepani cabaran kehidupan termasuk turut sama membimbing belia-belia yang ada agar mereka menemui jalan terbaik untuk mendepani kehidupan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Negeri Pahang Kali Ke-25

Turut hadir Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Encik Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, Pengarah PERKESO Negeri Pahang, Encik Hisham Abdul Rahman serta Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Pahang, Encik Mu’azamir Haji Jili.
Dalam pada itu, beliau menegaskan mengenai kepentingan kursus dan latihan kepada belia yang perlu dilaksanakan di luar konteks kebiasaaan.
“Maksudnya kita mahu ubah golongan belia ini agar mereka mampu memberi impak lebih dalam menyumbang kepada masyarakat.
” Pada awal ini tak perlu buat besar-besar, kita pilih pemimpin yang berpotensi untuk dilatih.. Kita buat secara bersiri dan menyediakan pendidik biarpun dari luar untuk memberi ilmu dan memimpin belia kita,” katanya.
Beliau juga menegaskan bahawa Kerajaan Negeri tetap memberi tumpuan kepada akademik dan bidang kemahiran yang berpadanan dan potensi dengan pasaran yang tinggi.
“Kelompok yang tak nak sambung belajar memang membimbangkan tapi kita akan usaha memberi kesedaran mengenai kepentingan pendidikan dan kemahiran yang boleh mereka ceburi.
“Kita juga akan memberi tumpuan kepada penyediaan bidang keusahawanan yang boleh menyediakan masa depan baik kepada belia kita,” katanya.
Sementara itu Presiden Majlis Belia Negeri Pahang, Encik Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid menyampaikan penghargaan terhadap keprihatinan Kerajaan Negeri Pahang yang sentiasa memberi sokongan berterusan kepada golongan belia di negeri ini.
“Tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, tahun lepas beri (peruntukan) RM1.2 juta tapi tahun ni naik mendadak hingga lebih RM4 juta. Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap pembangunan belia.
” Sudah tentu kita akan gunakan peruntukan untuk pembangunan belia di negeri ini termasuk latihan, pemerkasaan badan-badan gabungan termasuk dari segi bantuan pentadbiran dari segi program-program termasuk program profil Majlis Belia Negeri Pahang.
“Kita juga mengambil seruan YAB Menteri Besar Pahang dalam belanjawan sebelum ini yang menyenbut berkenaan kepentingan Teknokrat, memberi fokus latihan melibatkan Revolusi Industri 4.0 dan pergi ke arah re-skilling anak-anak muda di seluruh negeri Pahang,” katanya. -PAHANGMEDIA