Keadaan sebuah rumah di Kampung Insaf di Lanchang ketika banjir baru-baru ini

KERAJAAN PAHANG BINA PENEMPATAN BAHARU MANGSA BANJIR KAMPUNG INSAF

Oleh : Ain Nadhirah Basha

KUANTAN, 07 JULAI 2023 : Kerajaan Negeri Pahang telah membina penempatan baharu mangsa banjir di Kampung Insaf, Temerloh yang dijangka selesai sepenuhnya pada pertengahan Ogos nanti.

Pegawai Daerah Temerloh, YH. Dato’ Ali Syahbana Sabaruddin berkata pembinaan penempatan baharu ini melibatkan dua fasa di mana fasa pertama terdiri daripada empat penerima.

“Kita utamakan mereka (empat penerima fasa pertama) ini kerana mereka duduk di atas tanah rezab sungai. Dua daripada penerima ini akan ditempatkan di Bukit Bendera, Mentakab kerana tidak memiliki tanah dan Kerajaan Negeri telah memberikan tanah bagi tujuan ini, manakala rumah bagi dua penerima lagi dibina di atas tanah mereka sendiri di kawasan Lanchang.

“Sekarang pembinaan bagi fasa pertama untuk empat buah rumah ini dalam 60 peratus hingga 70 peratus, yang kita jangka dalam 5 ke 6 minggu lagi siap.

“Pembinaan rumah baharu mereka ini juga sama seperti konsep Rumah Rakyat Pahang (RRP) berkeluasan kira-kira 750 kaki persegi dengan kos RM75,000 sebuah,” katanya.

Laporan sebuah portal berita yang melaporkan mengenai penduduk mahukan penempatan baharu

Beliau berkata dua mangsa banjir fasa pertama ini akan ditempatkan di Bukit Bendera, bersama rumah RRP Temerloh, dan rumah mangsa banjir sumbangan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Mereka (dua penerima fasa pertama) ini juga telah menyatakan persetujuan mereka sebelum ini untuk ditempatkan di Bukit Bendera di mana dikawasan ini turut di bina dua buah rumah RRP, dan 12 rumah mangsa banjir sumbangan UAE di situ.

“Manakala bagi pembinaan fasa kedua penempatan baharu mangsa banjir ini kita telah kenalpasti kawasan di Sungai Kepong namun kita masih menunggu keputusan daripada kementerian berikutan ia berbukit dan banyak kerja infrastruktur perlu dilakukan sebelum pembinaan dapat dilakukan,” katanya.

Sebelum ini terdapat satu laporan berita berkenaan mangsa banjir di Kampung Insaf yang mahukan penempatan baharu kerana sering dilanda banjir dan tidak memperoleh penempatan baharu yang dijanjikan Kerajaan Negeri Pahang. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram