Oleh: Muhammad Shahrinnahar Abd Latib
Foto: Mahathir Ali
PEKAN, 25 JUN 2020: Tiada apa yang mampu diungkapkan oleh pesakit kanser darah, A. Rahman Yunus, 63, apabila menerima kunjungan calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Negeri (DN) Chini, Mohd Shahrim Md Zain di rumahnya di Felda Chini 5 di sini hari ini.
Malah rombongan yang turut disertai Ahli Parlimen Pekan, YB. Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak itu amat bermakna bagi keluarga berkenaan yang sebelum ini memang adalah penyokong kuat BN.
Menurut anaknya, Nurul Aida A. Rahman, 28, ayahnya memang penyokong kuat BN sejak dahulu lagi dan akan terus menyokong calon BN pada PRK kali ini.
“Ayah saya sakit kanser darah sejak lama lagi dan perlu mendapatkan rawatan di hospital setiap bulan sebab perlu tambah darah.

“Memang YB dahulu (Allahyarham Dato’ Sri Abu Bakar Harun) pernah bagi bantuan kepada ayah iaitu kerusi roda dan tongkat.
“Malah pada bulan Ramadan baru-baru ini Allahyarham ada bagi sumbangan sebanyak RM2,000 kepada ayah,” katanya ketika ditemui hari ini.
Dalam pada itu beliau mengucapkan terima kasih kepada calon BN dan YB. Dato’ Sri Mohd Najib kerana sudi hadir menziarahi serta bertanya khabar mengenai kesihatan ayahnya.
“Memang kami sekeluarga amat terharu dengan kehadirannya yang secara tidak langsung menggembirakan kami sekeluarga,” katanya. – PAHANGMEDIA