Gambar Hiasan

PENEROKA DURIAN HARAM: PELAPORAN BERITA PERLU BERASASKAN FAKTA TEPAT, ELAK PROVOKASI

Oleh : Fansurina Abdullah

KUANTAN, 5 JULAI 2023 : Pelaporan berita berhubung isu-isu penting terutamanya membabitkan isu peneroka haram Musang King di Raub perlulah berasaskan fakta yang tepat bagi mengelakkan kekeliruan sekaligus menimbulkan provokasi dan salah faham di kalangan masyarakat.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, ketidaktelusan dalam pelaporan berita akan mengundang spekulasi yang salah terhadap persepsi dan naratif hingga ramai netizen beranggapan peneroka haram Musang King telah menang dalam perbicaraan di mahkamah berhubung tuntutan mereka untuk mendapatkan kebenaran permohonan semakan kehakiman terhadap notis arahan pengosongan tanah yang dikeluarkan Kerajaan Negeri Pahang.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal

“Padahal, keputusan mahkamah semalam hanyalah berhubung permohonan interlokutori (bantahan awal) pihak Royal Pahang Durian untuk pembatalan prosiding di atas alasan peguam pemohon (peneroka) gagal mengemukakan dokumen untuk mewakili semua pemohon.

“Hakikatnya, keputusan ini tiada kena-mengena dengan permohonan semakan kehakiman, yang mana tarikhnya belum ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi Kuantan,” katanya dalam satu hantaran di laman rasmi Facebook miliknya, hari ini.

Dalam kenyataan itu juga, beliau berkata, Kerajaan Pahang sangat terbuka menerima pandangan daripada semua pihak namun pelaporan berita haruslah berasaskan fakta yang tepat bagi mengelakkan provokasi dan salah faham di kalangan masyarakat. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram