YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail ketika merasmikan Blok Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan Kampung Acheh hari ini.

BANGUNAN SEKOLAH BAHARU DAPAT BANTU TINGKAT PENCAPAIAN PELAJAR

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

PEKAN, 03 JULAI 2023 : Pembinaan prasarana baharu di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Acheh dekat sini diharap dapat meningkatkan lagi semangat dan pencapaian para pelajar dalam pelajaran.

Guru Besar SK Kampung Acheh, Encik Rosman Ab. Rasid berkata pelajar dan pendidik di sekolah berkenaan melahirkan rasa gembira di atas pembinaan bangunan tambahan baharu tersebut.

“Alhamdulillah, kami berasa gembira dengan penyerahan bangunan baharu ini dan saya harap dengan adanya bangunan baharu ini dapat menambah lagi semangat anak-anak di SK Kampung Acheh untuk datang ke sekolah untuk belajar.

“Dan juga memberi semangat kepada guru-guru, selain dapat menggunakan prasarana dan kemudahan yang disediakan dengan sebaik mungkin dan ia diharapkan dapat meningkatkan lagi pencapaian SK Kampung Acheh,” katanya.

Guru Besar SK Kampung Acheh, Encik Rosman Ab. Rasid

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Blok Bangunan Baharu Sekolah Kebangsaan Kampung Acheh oleh YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail hari ini.

Menurut beliau lagi, bangunan baharu ini menempatkan tujuh buah kelas serta sebuah kantin bagi kegunaan 76 pelajar di sekolah berkenaan.

“Bangunan baharu ini menempatkan bilik darjah sahaja iaitu enam bilik darjah, satu kelas pra sekolah, dan satu kantin.Manakala pejabat serta prasarana lain masih menggunakan bangunan yang lama,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar dan Kerajaan Negeri diatas sumbangan wang bagi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan sebanyak RM15,000.

“Kami warga SK Kampung Acheh mengucapkan berbanyak terima kasih kepada YAB Menteri Besar di atas pemberian sumbangan kepada kami dan kami harap dengan sumbangan itu dapat membantu kami untuk meningkatkan lagi program dan juga pencapaian sekolah ini,” katanya.

Pembinaan bangunan baharu ini dilaksanakan pada Jun 2020 dan disiapkan pada 24 April lalu dengan kos sebanyak RM5.695 juta menggunakan kaedah Industrialised Building System (IBS) adalah untuk menggantikan bangunan kayu sebelum ini kepada bangunan konkrit yang lebih selamat dan selesa. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram