Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal ketika Majlis Insentif Kecemerlangan SPM 2022 Atlet Majlis Sukan Pahang (MSP) di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, petang tadi.

46 ATLET CEMERLANG SPM 2022 TERIMA PENGIKTIRAFAN KERAJAAN PAHANG

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 26 JUN 2023 : Seramai 46 atlet Pahang yang memperoleh keputusan cemerlang pada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 menerima pengiktirafan daripada Kerajaan Pahang sebagai tanda galakan dan sokongan terhadap mereka dan atlet-atlet lain untuk terus mencipta kecemerlangan di dalam pelajaran dan karier.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata, Kerajaan Pahang sentiasa mengambil berat soal pencapaian atlet di dalam akademik meskipun terpaksa membahagikan masa dengan jadual latihan yang padat.

“Saya sebenarnya kagum kerana saya tahu jadual mereka padat, banyak disiplin yang perlu diikuti setiap hari, seperti yang saya katakan tadi, pagi petang siang malam berlatih tetapi masih boleh mencipta kecemerlangan dalam pendidikan.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal

“Jadi, bukan mudah, macam kita dahulu apabila bersukan wakil sekolah, penat, cedera sikit dah tak pergi sekolah, mereka ini saya kira ‘level’ yang lebih tinggi tetapi boleh juga cemerlang dalam pendidikan, jadi itu satu pencapaian yang mengkagumkan dan sebab itulah kita mengiktiraf pencapaian mereka ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Insentif Kecemerlangan SPM 2022 Atlet Majlis Sukan Pahang (MSP) di Hotel Grand Darul Makmur, Kuantan, petang tadi.

Hadir sama ialah Pengarah Majlis Sukan Pahang (MSP), Encik Zamri Hassan dan wakil-wakil IPTA / IPTS daripada tujuh institusi iaitu UiTM, UnIPSAS, UMP, Kolej Profesional MARA, Kolej Poly-Tech MARA, PSDC dan POLISAS.

Dalam pada itu, beliau berkata, semangat waja daripada atlet-atlet ini wajar dijadikan contoh kepada pelajar lepasan SPM lain dalam menimba ilmu meskipun atlet-atlet ini sudah cemerlang di dalam bidang sukan masing-masing.

“Saya rasa mereka perlu mencontohi atlet-atlet ini yang melalui sembang saya bersama mereka tadi ramai yang memang hendak menyambung belajar tetapi pada masa yang sama mereka ingin terus aktif sebagai atlet, jadi dua-dua dapat jadi mereka yang tidak mahu sambung belajar ini merupakan satu kerugian besarlah,” katanya.

Pada majlis itu seramai 46 atlet cemerlang SPM 2022 dari kontinjen Pahang telah menerima insentif masing-masing sumbangan Kerajaan Pahang sebagai suntikan semangat untuk terus berjaya pada masa akan datang. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram