Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (tiga dari kiri) ketika memantau kerja-kerja baik pulih jalan di Persimpangan Berlian, jalan masuk ke POLISAS-Kawasan Perindustrian Semambu (FT3486) hari ini.

AIR BAWAH TANAH PUNCA JALAN BYPASS-SEMAMBU DIBAIKI

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Mahathir Ali

KUANTAN, 26 JUN 2023 : Pelaksanaan kerja-kerja baik pulih struktur jalan di Persimpangan Berlian iaitu jalan masuk ke Kawasan Perindustrian Semambu (FT3486) di sini berpunca daripada air bawah tanah di kawasan berkenaan.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, kerja baik pulih di kawasan berkenaan telah berada pada tahap 20 peratus setakat ini dan dijangka selesai pada Ogos ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff (tiga dari kiri) ketika memantau kerja-kerja baik pulih jalan di Persimpangan Berlian, jalan masuk ke POLISAS-Kawasan Perindustrian Semambu (FT3486) hari ini.

“Projek di Persimpangan Semambu di bawah jejantas POLISAS ini, kerja-kerja pembinaan sedang rancak dilaksanakan. Dan kita dapati bahawa ada sebahagian daripada utiliti telah dialihkan oleh pihak berwajib seperti TNB, PAIP, dan TM bagi membolehkan pembinaan jalan baharu di kawasan ini.

“Selama ini kita dapati bahawa jalan di sini memang sentiasa menghadapi masalah pembaikkan, kerosakan, dan sentiasa memerlukan peruntukkan untuk dibaikpulih. Apabila tinjauan dilakukan, saya mendapat maklumat bahawa di bawah jalan ini terdapat aliran air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui ketika melawat kerja pembinaan di Persimpangan Berlian, jalan masuk ke POLISAS-Kawasan Perindustrian Semambu (FT3486) hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kerja Raya Negeri Pahang Darul Makmur, Tuan Ir. Haji Rosnan Hussin; dan Pengurus Wilayah Roadcare Pahang, Encik Risyadi Irwan.

Beliau berkata kerosakan berulang di jalan tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada pengguna jalan malah turut memberi kesan kewangan yang besar kepada Kerajaan Negeri.

“Jadi untuk membina satu jalan baharu iaitu jalan konkrit iaitu fibre reinforce concrete yang mana kita tak gunakan lagi sebagaimana kita gunakan pembinaan seperti biasa menggunakan premix.

“Jalan yang dibina ini akan mempunyai kekuatan yang sama seperti reinforce concrete. Jadi kita berharap pada masa akan datang, jalan ini akan lebih tahan dan dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan,” katanya.

Beliau sebelum itu telah melawat kerja pembinaan jalan di laluan FT03 Jalan Kuantan-Cukai berhampiran Damansara yang telah selesai pada 25 Mei lepas, serta kerja pembaikan di FT14 Lebuhraya Jerangau-Jabor berhampiran persimpangan SIRIM di Bulatan Jabor yang selesai pada 31 Mei lepas.

YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin berkata pihak konsesi sentiasa mengadakan rondaan bagi memastikan jalan berada dalam keadaan baik.

“Sekiranya terdapat jalan yang memerlukan pembaikan atau mengalami kerosakan teruk pihak berkaitan seperti wakil rakyat boleh membuat aduan kepada pihak JKR dan juga pihak Roadcare untuk dijalankan siasatan seterusnya meminta peruntukan sesuai kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram