Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi
KUANTAN, 25 JUN 2023 : Kerajaan Negeri Pahang memberi komitmen untuk menambahbaik sukan olahraga di negeri ini sebagai persiapan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang bakal berlangsung.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal berkata sukan olahraga ini juga akan diberi tumpuan oleh Kerajaan Negeri.

“Saya juga menyatakan komitmen Kerajaan Negeri Pahang untuk memastikan sukan olahraga ini di beri tumpuan sebab olahraga adalah penyumbang pingat terbesar setiap kali kejohanan seperti SUKMA.
“Kita juga berbincang panjang dimana saya memperuntukkan hampir tiga jam berbincang strategi untuk persiapan atlet-atlet Pahang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kepada Pemenang Sempena Kejohanan Olahraga Terbuka Pahang Ke-56 di Stadium Darul Makmur, hari ini.
Beliau turut meminta kejohanan olahraga dijalankan lebih banyak lagi selepas ini sebagai persiapan kepada para atlet bagi ke SUKMA yang akan diadakan di Sarawak nanti.
“Kejohanan seperti ini adalah pemanas badan (para atlet) sebagai persiapan untuk SUKMA dan saya minta anjurkan banyak lagi (kejohanan).
“Saya bagi cadangan tadi, untuk libatkan penyertaan awam, untuk buat malam pula (kejohanan) di Stadium Darul Makmur,” katanya.
Menurut beliau lagi, kebajikan jurulatih dan atlet di negeri ini sentiasa diberi perhatian bagi memastikan mereka memberikan prestasi yang terbaik.
“Gaji jurulatih tiada di bawah RM2,000 lagi dan ini sedang ditambahbaik dan kita dah capai persetujuan, kita akan bagi kenaikan-kenaikan kepada yang lain juga.
“Bagi atlet, bermula pada Januari tahun hadapan elaun bulanan yang layak ke SUKMA akan dinaikkan lebih atau setara dengan negeri-negeri lain,” katanya. -PAHANGMEDIA