Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim ketika Majlis Penutupan Karnival Usahawan Negeri Pahang Sempena Minggu PMKS dan Minggu Usahawan Negara (MUN) 2033 di Serambi Teruntum, hari ini.

KERAJAAN NEGERI TERUS KONSISTEN SOKONG USAHAWAN IKS DAN PKS

Oleh: Fairus Mohd

KUANTAN, 25 JUN 2023 : Kerajaan Negeri terus komited dalam mengangkat usahawan IKS dan PKS ke tahap yang lebih tinggi melalui penyaluran bantuan, pembiayaan mahupun sokongan dalam pelbagai bentuk.

Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim berkata, ia termasuk penganjuran Karnival Hari Usahawan Negeri Pahang yang diadakan selama tiga hari di Serambi Teruntum sejak Jumaat lalu.

Exco Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, YB. Tuan Ir Razali Kassim.

“Sokongan daripada usahawan Negeri Pahang sangat bagus, ada 70
usahawan Pahang, 20 daripada Terengganu dan sepuluh daripada negeri Kelantan.

“Program ini sudah masuk tahun ketiga, Kerajaan Negeri juga telah membelanjakan sejumlah peruntukan untuk menyokong karnival ini di mana peruntukan itu digunakan untuk penyediaan tempat serta bayaran acara-acara program seperti ceramah, persembahan dan sebagainya.

“Ini adalah komitmen Kerajaan Negeri dalam menyediakan platform terbaik untuk para usahawan memperkenalkan produk masing-masing di mana ia turut mengangkat setiap nama daerah dan negeri ini khususnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Penutupan Karnival Usahawan Negeri Pahang Sempena Minggu PMKS dan Minggu Usahawan Negara (MUN) 2033 di Serambi Teruntum, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad serta Setiausaha Bahagian Perancang Ekonomi Negeri, YH. YM. Tengku Dato’ Nor Asmaliza Ku Lah.

Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri meluluskan 1553 permohonan bagi Dana Skim Pembiayaan Kerajaan Usahawan Mikro Pahang (i-Push) berbanding tahun lalu sebanyak 725 permohonan.

“Pada tahun ini peruntukan sebanyak RM15 juta disediakan bagi program berkenaan bagi membantu golongan usahawan.

“Pinjaman ini bebas bunga malah diberi moratorium selama setahun di mana mereka dapat memulakan perniagaan dahulu sebelum mula membayar pinjaman setahun kemudian,” katanya. -PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram