YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Perasmian Pembukaan Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 5B: Kampung Orang Asli Sungai Chandan Ke Kampung Asap Dan Sebahagian Seksyen 5A: Persimpangan Krau, Raub di Tapak Projek LTU Seksyen 5B hari ini.

LALUAN LTU RAUB-BENTONG DIBUKA TENGAH MALAM INI

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram

Oleh : Ain Nadhirah Basha
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

RAUB, 24 JUN 2023 : Laluan Lingkaran Tengah Utama (LTU) sepanjang 18.6 kilometer melalui Kampung Orang Asli Sungai Chandan ke Kampung Asap telah dibuka secara rasmi bermula tengah malam ini.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata pembukaan laluan ini dapat menjimatkan masa dan mengelakkan kesesakan terutamanya pada musim cuti dan perayaan.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail pada Majlis Perasmian Pembukaan Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 5B: Kampung Orang Asli Sungai Chandan Ke Kampung Asap Dan Sebahagian Seksyen 5A: Persimpangan Krau, Raub di Tapak Projek LTU Seksyen 5B hari ini.

“Manfaat yang kita dapat daripada pembukaan jalan ini adalah ia memendekkan masa perjalanan di mana sebelum ini terpaksa melalui perjalanan lebih kurang 40 minit dapat dipendekkan kepada 15 minit.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

“Dari segi jaraknya daripada 30 kilometer kepada 18.6 kilometer. Jadi penjimatan masa lebih kurang 30 minit ini sangat menguntungkan kerana kita boleh buat banyak perkara dalam tempoh tersebut.

“Yang lebih penting kita dapat meminimakan kesesakan lalulintas terutamanya semasa musim perayaan,” katanya pada sidang akhbar pada Majlis Perasmian Pembukaan Jalan Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 5B: Kampung Orang Asli Sungai Chandan Ke Kampung Asap Dan Sebahagian Seksyen 5A: Persimpangan Krau, Raub di Tapak Projek LTU Seksyen 5B hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya (JKR), YB. Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohamad; YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Indera Haji Zulkifli Haji Yaacob; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff; Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal; dan Exco Jawatankuasa Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri Pahang, YB. Dato’ Sabariah Saidan.

Beliau berkata pembinaan laluan ini juga dapat memberi nilai tambah kepada kawasan Pahang Barat khususnya bagi sektor pembangunan dan ekonomi.

“Bila dah ada jalan raya ini sudah tentu nilai tambah akan ikut secara automatik terutama sekali dari segi pembangunan. Kalau dulu saya difahamkan orang tak nak datang sebab jauh, lori kargo juga tak nak masuk sebab kos menghantar barang terlalu tinggi.

“Ini secara tidak langsung telah menggalakkan orang datang ke Pahang Barat dan menggalakkan pelabur datang ke tempat kita,” katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna LTU supaya memandu secara berhemah dan bersama-sama menjaga kebersihan di laluan tersebut.

Pembinaan LTU Seksyen 5B ini telah dimulakan pada 14 Mac 2018 dan siap pada 6 Mac lepas dengan kos sebanyak RM294.6 juta dan dibuka secara rasmi kepada orang ramai pada 25 Jun tepat 12.01 tengah malam hari ini.

Projek LTU merupakan pembinaan jalan baharu dan menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang hampir 298.4 kilometer dari Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT), Bentong, Pahang yang dibina berasaskan 4 lorong 2 hala.

Jajaran LTU di Pahang melibatkan empat pakej utama iaitu Pakej 3 sehingga Pakej 6 sepanjang 169.10 kilometer dan dipecahkan kepada 16 seksyen di mana sembilan projek telah siap manakala tujuh projek sedang dalam pembinaan. -PAHANGMEDIA