Mantan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato' Sri Dr. Sallehuddin Ishak ketika diraikan pada pada Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang yang turut dihadiri YAB Menteri Besar Pahang, Dato' Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Sri Burhah Mohammed serta barisan kepimpinan Kerajaan Pahang.

TIADA PERANCANGAN KHUSUS, HANYA MAHU BEREHAT

Oleh : Fansurina Abdullah
Foto : Putera Falliq Hakim Suhairi

KUANTAN, 21 JUN 2023 : Selepas melepaskan beban tugas yang digalas selama 34 tahun, mantan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak hanya mahu meluangkan waktu sepanjang persaraan dengan berehat.

Dato’ Sri Dr. Sallehuddin berkata, buat masa ini tiada perancangan khusus dibuat bagi mengisi waktu senangnya selepas bersara pada April lalu.

“Banyak rehatlah daripada bekerja, sekarang ni nak rehat sahaja, dalam beberapa bulan ini saya ingat hanya ingin berehat sahajalah, belum bersedia nak kerja di mana-mana lagi”, katanya.

Mantan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak

Beliau berkata demikian selepas diraikan pada Majlis Makan Malam Jasamu Dikenang yang turut dihadiri YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Sri Burhah Mohammed serta barisan kepimpinan Kerajaan Pahang.

Beliau yang turut diiringi isteri, Datin Sri Kamariah Mohamad berkata, tiada perbezaan ketara dalam aktiviti seharian kerana telah merancang persaraan dalam tempoh beberapa bulan sebelum bersara sepenuhnya.

“Sebenarnya saya telah merancang persaraan saya, saya dah memang slow down 2-3 bulan, jadi tidaklah rasa sangat perubahan itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, penjagaan kesihatan merupakan aspek penting yang perlu dijaga selepas persaraan.

Mantan Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak

Pada majlis itu, para hadirin jemputan turut dihidangkan dengan video dan montaj penghargaan kepada Dato’ Sri Dr. Sallehuddin sebagai tanda ingatan dan terima kasih di atas segala bakti dan jasa dicurahkan selama empat tahun mentadbir Negeri Pahang sebagai Setiausaha Kerajaan sejak 2019.

Kini segala jasa dan bakti masih segar diingatan seluruh warga Kerajaan Pahang yang telah melakar pelbagai sejarah kemajuan dan pembangunan di Pahang.

Harapan beliau agar Pahang akan terus membangun dan mencatat sejarah hebat negara menerusi pelbagai bidang di persada antarabangsa. – PAHANGMEDIA

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram